Masalah Wang dan Hutang—Dapatkah Bible Membantu Anda Menanganinya?
Jawapan Bible
Ya. Empat prinsip Bible yang berikut dapat membantu anda menangani masalah wang dan hutang:
Rancang perbelanjaan anda. “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan, tetapi tindakan yang tergesa-gesa akan mengakibatkan kemiskinan.” (Amsal 21:5) Jangan tergesa-gesa membeli sesuatu hanya kerana barangan itu murah. Rancanglah perbelanjaan anda dan ikutlah rancangan anda.
Jangan berhutang. “Orang yang meminjam menjadi hamba kepada orang yang memberikan pinjaman.” (Amsal 22:7) Jika anda tidak dapat membayar hutang, cubalah berbincang dengan pemiutang anda untuk membuat pelan pembayaran yang baharu. Ikutlah nasihat Bible berikut: “Rendahkanlah dirimu dan pergilah merayu kepadanya dengan bersungguh-sungguh. . . . Selagi kamu belum melakukan hal itu, janganlah tidur dan janganlah biarkan matamu terpejam.” (Amsal 6:1-5) Ya, anda tidak patut berputus asa. Biarpun permohonan anda ditolak, teruslah memohon.
Pupuk pandangan yang seimbang tentang wang. “Orang yang kikir ingin cepat kaya. Dia tidak sedar bahawa kemiskinan segera menimpa dia.” (Amsal 28:22, Alkitab Berita Baik) Perasaan cemburu dan tamak akan menyebabkan masalah kewangan dan membuat seseorang mengetepikan hal-hal rohani.
Pupuk sikap berpuas hati. “Jika kita mempunyai makanan dan pakaian, kita akan berpuas hati.” (1 Timotius 6:8) Wang tidak dapat membeli kebahagiaan atau kepuasan hidup. Orang yang paling bahagia di bumi bukanlah orang yang kaya. Mereka hidup bahagia kerana mempunyai kasih sayang keluarga dan kawan, dan kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan Tuhan.—Amsal 15:17; 1 Petrus 5:6, 7.