22 FEBRUARI 2023
AFRIKA SELATAN
Pejabat Penterjemahan Baharu bagi Bahasa Venda di Afrika Selatan
Pada 7 Disember 2022, pejabat penterjemahan (RTO) bagi bahasa Venda mula beroperasi di Makhado, Afrika Selatan. Terdapat 10 orang penterjemah yang bekerja sepenuh masa dan 8 orang lagi yang bekerja separuh masa.
Terdapat kira-kira 1.2 juta orang di Afrika Selatan dan 100,000 orang di Zimbabwe yang menuturkan bahasa Venda. Kini, terdapat kira-kira 800 penyiar yang berkhidmat di 28 sidang bahasa Venda yang terletak di dua negara itu.
Di lokasi RTO yang baharu ini terdapat sebuah bangunan yang sedia ada, yang kemudiannya diubah suai menjadi empat unit apartmen. Selain itu, sebuah bangunan yang baharu telah dibina untuk digunakan sebagai pejabat penterjemahan. Tiga buah apartmen yang terletak berdekatan lokasi RTO juga dibeli untuk dijadikan tempat tinggal.
RTO ini direka dengan mengambil kira keadaan cuaca tempatan. Saudara Jody Palvie, seorang penyelia projek bagi Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan berkata, “Cuaca di kawasan ini sangat panas dan lembap. Jadi, pokok-pokok teduhan di kawasan RTO tidak ditebang supaya dapat menyejukkan kawasan itu. Kami juga menggunakan jubin dan konkrit yang digilap dalam bangunan.”
Lokasi baharu ini juga membantu para penterjemah kerana mereka dapat berkomunikasi dengan lebih banyak penutur asli bahasa Venda. Seorang penterjemah bahasa Venda berkata, “Setiap hari, kami dapat berjumpa dan bercakap dengan orang yang menuturkan bahasa Venda. Ini bantu meningkatkan mutu terjemahan kami kerana kami dapat menggunakan bahasa seharian yang mudah difahami.” Seorang lagi penterjemah kata, “Sekarang, lokasi RTO lebih dekat dengan saudara saudari yang menuturkan bahasa Venda. Jadi, mereka dapat membantu dalam projek rakaman audio dan video.”
Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus memberkati usaha saudara saudari kita untuk ‘mengucapkan kata-kata pujian kepada-Nya’ dalam kalangan orang Venda.—Mazmur 145:21.