10 MAC 2021
AFRIKA SELATAN
Pengeluaran Bible dalam Tiga Bahasa di Afrika Selatan
Para penyiar yang berbahasa Kwangali, Sepulana, dan Tswana, di Afrika Selatan, menerima sebuah hadiah yang istimewa pada 7 Mac 2021. Dalam satu rakaman program, Saudara Mark Sanderson, seorang Ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Kwangali dan Sepulana, serta Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Tswana. Saudara saudari menonton sebuah program istimewa menerusi persidangan video. Ketiga-tiga Bible tersebut disediakan dalam bentuk digital.
Kwangali
Sekumpulan penterjemah yang terdiri daripada tiga orang menyelesaikan terjemahan ini dalam masa dua tahun. Lebih daripada 240 penyiar yang menuturkan bahasa tersebut kini memiliki terjemahan yang mudah dibaca dan yang akan membantu mereka dalam pembelajaran peribadi serta kerja penyebaran.
Sepulana
Enam penterjemah membantu dalam projek ini, yang memakan masa kira-kira satu tahun setengah untuk menyelesaikannya. Terdapat 374 penyiar yang menggunakan bahasa Sepulana di Afrika Selatan.
Seorang penterjemah berkata, “Semasa menginjil, kami sering guna terjemahan bahasa Sepedi. Tapi, sebelum menerangkan ayat Bible, kami perlu jelaskan atau terjemahkan satu atau dua perkataan dalam ayat itu kepada orang yang berminat. Sekarang, dengan terjemahan ini, orang boleh baca sekali dan akan terus faham maksudnya.”
Tswana
Projek untuk mengemaskinikan Bible mengambil masa sekitar empat tahun untuk diselesaikan. Enam penterjemah berganding bahu melakukan projek itu. Lebih daripada 5,600 penyiar berkhidmat dalam kawasan penyebaran bahasa Tswana.
Seorang penterjemah meluahkan perasaannya tentang Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Tswana. Dia berkata, “Bible ini akan membantu penyiar meningkatkan kemahiran dalam kerja penyebaran dan bukannya menjelaskan perkataan yang susah difahami. Bible ini juga akan menjadi alat yang berguna bagi pembelajaran. Carta, peta, gambar, dan glosari akan membantu penyiar membayangkan kisah Bible.”
Semua Bible baharu ini akan membantu saudara saudari kita dan orang yang berminat untuk memenuhi keperluan rohani mereka. Kita amat menghargai makanan rohani yang melimpah pada masa kini.—Yesaya 65:13.