Lompat ke kandungan

Atas: Saudara dan saudari di Vlorë, Albania, pada tahun 1930. Atas kanan: Brosur-brosur tentang sejarah teokratik Albania yang dipamerkan. Bawah kanan: David Splane, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu semasa Konvensyen Distrik 2005 yang bertema “Godly Obedience”

7 JANUARI 2022
ALBANIA

Berita Baik Telah Disebarkan di Albania selama 100 Tahun meskipun Menghadapi Sekatan selama Berdekad-Dekad

Berita Baik Telah Disebarkan di Albania selama 100 Tahun meskipun Menghadapi Sekatan selama Berdekad-Dekad

Tahun 2022 ialah ulang tahun ke-100 bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Albania.

Nasho Idrizi merupakan antara orang Albania yang pertama menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa dia di Amerika Syarikat sekitar tahun 1920, dia belajar Bible dengan Pelajar Bible Antarabangsa, yang kini dipanggil sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

Pada tahun 1922, Nasho kembali ke Albania. Belakangan, orang Albania yang menjadi Pelajar Bible semasa menetap di Amerika Syarikat juga kembali ke negara asal untuk mengongsi kebenaran yang dipelajari mereka.

Thanas Duli

Thanas Duli juga merupakan salah seorang Pelajar Bible yang terawal di Albania. Dia berkata, “Pada tahun 1925, terdapat tiga buah sidang ditubuhkan di Albania, dan ada juga para Pelajar Bible di kawasan terpencil serta orang yang berminat di pelbagai tempat di Albania.”

Pada masa itu, beberapa bahan bacaan seperti The Harp of God dan A Desirable Government diterjemahkan ke dalam bahasa Albania. Majalah The Watch Tower terbitan 1 Disember 1925 berkata bahawa “banyak bahan bacaan dalam bahasa Albania telah ditawarkan, dan orang Albania sedang mempelajari Bible dengan sukacita.”

Argjiro dan Nasho Dori

Orang mula menggelar Saksi-Saksi sebagai ungjillorë, yang bererti “penginjil,” kerana mereka menginjil dengan bersemangat. Nasho Dori, yang dibaptis pada tahun 1930, berkata, “Pada tahun 1935, kami menyewa sebuah bas untuk menginjil di pekan Këlcyrë. Selepas itu, kami mengatur kerja menginjil di serata tempat di Albania, dan melawat pekan Përmet, Leskovik, Ersekë, Korçë, Pogradec, dan Elbasan. Kami sempat habis menginjil di Tirana sebelum kami mengadakan Peringatan kematian Kristus.”

Pada tahun 1939, Itali yang fasis telah memerintah Albania dan mengenakan sekatan ke atas Saksi-Saksi Yehuwa. Para saudara menghadapi isu keneutralan kerana mereka tidak mahu menyertai perang antara Greece dan Itali. a Pada masa itu, sebanyak 15 orang saudara telah dipenjarakan. Saudara Nikodhim Shyti telah dihantar ke kem konsentrasi dan tiada sesiapa yang tahu apa yang berlaku kepadanya selepas itu.

Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Parti Komunis mula berkuasa di Albania pada tahun 1944. Penganiayaan saudara saudari masih berterusan. Banyak saudara telah dipenjarakan dan diseksa. Ada yang dihantar ke kem buruh dan berjauhan dengan keluarga mereka. Pada waktu itu, Albania dipulaukan oleh negara-negara lain. Buku tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 1959 melaporkan: “Walaupun pemerintah manusia cuba mengasingkan para saudara di Albania daripada saudara saudari di seluas dunia, mereka tidak boleh menghalang kuasa suci Tuhan daripada membantu umat Tuhan di Albania.” Pada tahun 1967, Albania menjadi negara pertama yang diisytiharkan sebagai negara ateis. Sekumpulan kecil Saksi yang berada di sana tetap berhati-hati sambil mengamalkan kepercayaan mereka.

Belakangan, pemerintahan Komunis pun berakhir. Selepas disekat selama lebih daripada 50 tahun, Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf sekali lagi di sisi undang-undang pada 22 Mei 1992.

Sekarang, terdapat 5,550 orang Saksi di 89 buah sidang di Albania. Kita bersukacita bersama saudara saudari kita kerana “dengan cara yang luar biasa, firman Yehuwa terus tersebar dan menjadi semakin berkuasa” walaupun terdapat penganiayaan di Albania.—Kisah 19:20.

a Perang antara Greece dan Itali berlangsung pada 28 Oktober 1940 hingga 23 April 1941. Perang itu menandakan bermulanya kempen Balkan semasa Perang Dunia Kedua.