Lompat ke kandungan

10 DISEMBER 2019
ALBANIA

Gempa Bumi yang Dahsyat Melanda Albania

Gempa Bumi yang Dahsyat Melanda Albania

Sejak 40 tahun yang lalu, inilah gempa bumi yang terkuat pernah melanda Albania. Tiada Saksi-Saksi Yehuwa yang terkorban atau tercedera. Namun, sebanyak 35 buah rumah Saksi dan tiga buah Dewan Perjumpaan tidak lagi selamat digunakan.

Gempa bumi yang berukuran 6.4 magnitud ini melanda Albania pada 26 November 2019. Bencana ini telah meragut nyawa sebanyak 51 orang, lebih daripada 3,000 orang tercedera, dan ribuan orang dipindahkan dari rumah mereka. Saksi-Saksi yang dipindahkan tinggal di rumah saudara-mara atau rumah para Saksi dari sidang lain. Bagi Dewan Perjumpaan yang mengalami kerosakan, saudara saudari akan menggunakan Dewan Perjumpaan lain yang lebih selamat.

Seorang penatua menceritakan bagaimana persiapan awal untuk menghadapi bencana telah membantu keluarga mereka. Dia berkata, “Semasa gempa bumi itu melanda, kami terus mengambil beg kecemasan yang kami sudah sediakan dan lari dari rumah. Kami dapat guna barang-barang penting yang ada dalam beg kami seperti selimut, air, ubat, dan makanan. Kami bersyukur kepada Yehuwa dan Badan Pimpinan yang telah menunjukkan kasih serta keprihatinan mereka terhadap kami.”

Para penyelia litar segera pergi ke kawasan yang dilanda gempa bumi itu untuk menggalakkan saudara saudari. Seorang penyelia litar dan isterinya turut dipindahkan kerana apartmen mereka telah mengalami kerosakan. Mereka masih meluangkan masa untuk menggalakkan orang lain biarpun menghadapi keadaan yang mencabar itu.

Beberapa saudara dari Jawatankuasa Cawangan turut melawat kawasan yang mengalami kerosakan teruk akibat bencana itu. Selain itu, Jawatankuasa Bantuan Bencana sedang menyelia kerja bantuan kemanusiaan.

Kita berdoa agar saudara saudari di Albania tetap bertabah. Kita menanti-nantikan saatnya apabila bencana alam dan penderitaan tidak akan ada lagi.—Roma 8:25.