15 MEI 2023
AMERIKA SYARIKAT
Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” Sudah Bermula
Pada Mac 2020, konvensyen serantau secara bersemuka telah dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19. Pada tahun ini, acara rohani ini dapat berlangsung semula secara bersemuka di serata dunia. Lebih daripada 6,000 sesi Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” akan diadakan dalam lebih daripada 500 bahasa. Konvensyen yang pertama telah berlangsung pada 12-14 Mei 2023.
Lebih daripada 1,800 orang telah menghadiri konvensyen ini yang diadakan di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di Newburgh, New York, Amerika Syarikat. Salah seorang hadirinnya ialah Saudari Khrystine Torres. Saudari Khrystine berkata, “Tepukan yang gemuruh didengari apabila pengerusi mengucapkan selamat datang kepada kami semua. Kami sangat gembira dapat berkumpul bersama sekali lagi.” Saudara Duane Smith yang turut berada di konvensyen itu berkata, “Kami dapat lihat suasana di sana sangat mesra. Semua orang rasa teruja dan gembira kerana dapat bergaul bersama.”
Saudari Jessica Dolcemascolo, yang dibaptis semasa pandemik, tidak pernah menghadiri konvensyen secara bersemuka. Semasa konvensyen pertamanya di dewan, dia rasa amat terharu dan berkata, “Sukacita dan kasih yang berlimpah-limpah memenuhi tempat itu. Rasanya seperti berada bersama dengan best friend kita selepas lama tidak berjumpa.” Saudari Noemi Tinajero yang berumur 18 tahun dan baru dibaptis tahun ini berkata, “Ada banyak keluarga dan kawan-kawan di sana, mereka semua nampak sangat gembira. . . . Saya rasa seperti di dunia baharu.”
Ramai orang juga setuju bahawa tema program amat sesuai. Saudara Sam Huh berkata, “Memang mencabar untuk selalu bersikap sabar. Jadi konvensyen ini peringatan yang baik dan datang tepat pada masanya. Kita semua perlu meniru kesabaran Yehuwa.” Saudari Frenchie Smith berkata, “Saya dapat lihat cara untuk menerapkan sifat ini dalam kehidupan saya. Seluruh programnya sangat bagus bagi saya.”
Sesungguhnya, para hadirin konvensyen di Newburgh, New York, telah meraih manfaat yang besar daripada acara itu! Kita semua, bersama dengan berjuta-juta saudara saudari dan orang lain, tidak sabar-sabar menghadiri jamuan rohani ini pada bulan-bulan yang akan datang.—Mazmur 122:1.