6 OKTOBER 2022
AMERIKA SYARIKAT
Konvensyen di Cedar Point 100 Tahun yang Lalu
Pameran Baharu yang Menunjukkan Pengaruh Peristiwa Bersejarah Itu
Pada 5-13 September 1922, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan konvensyen sembilan hari di Cedar Point, Ohio, A.S. Itu ialah salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah Saksi-Saksi Yehuwa. Wakil-wakil dari pelbagai negara di Amerika Syarikat, Kanada, dan Eropah menghadiri konvensyen itu. Setiap hari, terdapat 10,000 hadirin secara purata. Ceramah-ceramah disampaikan secara serentak dalam 11 bahasa.
Sekarang, dalam sebuah muzium di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa, terdapat pameran baharu yang menunjukkan pengaruh konvensyen bersejarah itu ke atas kerja penyebaran kita. Buat masa ini, pameran itu hanya dapat dikunjungi oleh keluarga Bethel. Namun, apabila lawatan boleh dilakukan semula, pameran itu akan terbuka kepada umum.
Detik yang paling penting di konvensyen Cedar Point adalah pada 8 September. Pada hari itu, kira-kira 8,000 hadirin memenuhi dewan di Tasik Erie yang indah. Mereka datang untuk mendengar ceramah Saudara Joseph F. Rutherford yang bertajuk, “Kerajaan.”
Selepas berucap selama 90 minit, Saudara Rutherford melantangkan suara semasa dia tanya hadirin jika mereka percaya bahawa Yesus Kristus sedang memerintah. Semua hadirin serta-merta menjawab dengan suara kuat dan yakin, “Ya!” Lalu Saudara Rutherford kata, “Kamu diberi tugasan untuk beritahu semua orang tentang hal ini. Jadi, umumkan, umumkan, umumkan.” Ketika itu, ikatan pada kain rentang dibuka, dan cogan kata “Umumkan Raja Kita dan Kerajaannya” terbentang di hadapan hadirin.
Semasa mendengar jemputan untuk menginjil berita baik itu, hadirin dipenuhi dengan semangat untuk melakukan kerja penyebaran. Ramai antara hadirin sudah mula menginjil sebelum itu. Namun, ceramah Saudara Rutherford menyemarakkan semangat mereka untuk lebih rajin menginjil. Saat itu, kerja dari rumah ke rumah mula dilakukan dengan lebih teratur. Saudari Ethel Bennecoff, yang ketika itu berumur hampir 30 tahun, menjelaskan bahawa selepas ceramah yang bersemangat itu, para Pelajar Bible memiliki “semangat dan kasih yang kian membara” dalam hati mereka. Saudari Odessa Tuck, yang berumur 18 tahun pada 1922 pula kata, “Saya ingin seperti Yesaya, yang kata, ‘Inilah aku. Utuslah aku!’”
Dua hari selepas ceramah Saudara Rutherford, Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa membuat satu resolusi. Sebahagian daripada resolusi itu berbunyi, “Sebagai satu kumpulan orang Kristian yang bertekad untuk taat dan ikut Tuan dan Penyelamat kami, Yesus Kristus, kami menolak untuk ikut serta perang, revolusi, anarki, atau kekejaman dalam apa jua bentuk. Kami juga tidak setuju Firman Tuhan disalahgunakan untuk menipu orang. Kami benar-benar menginginkan kedamaian.” Resolusi itu membuat para Pelajar Bible semakin berbeza daripada agama-agama lain yang menyokong kekejaman semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, yang berlaku beberapa tahun kemudian.
Majalah Menara Pengawal, terbitan 15 Jun 1922 menyatakan, “Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membuat konvensyen umum tahun 1922 sebagai konvensyen terbaik yang pernah kami adakan. . . . Kami berharap acara ini akan terpahat dalam ingatan ribuan saudara saudari yang akan hadir.”
Harapan itu benar-benar menjadi kenyataan. Seratus tahun kemudian, Yehuwa masih memberkati kerja untuk mengumumkan Raja dan Kerajaannya.—Matius 24:14.