11 MAC 2021
AMERIKA SYARIKAT
Menginjil Melalui Surat Terus Membuahkan Hasil yang Positif
Ramai Saksi Yehuwa menikmati sukacita dengan menulis surat dalam kerja penyebaran. Pengalaman berikut dari Amerika Syarikat membuktikan bahawa usaha sedemikian sangat baik untuk menyebarkan mesej Bible yang melegakan hati.
Saudari Carlee Ruggles, yang berusia 13 tahun, dari Blue Ash, Ohio, mendapati bahawa menulis surat begitu berkesan apabila salah satu suratnya dibalas dalam cara yang tidak disangka.
Pada suatu petang, Carlee sedang berada di luar rumahnya. Tiba-tiba sebuah motosikal masuk di depan halaman rumah. Penunggangnya turun sambil memegang sepucuk surat lalu menjerit, “Siapa hantar surat ini kepada saya?” Carlee sedar bahawa itulah salah satu surat yang ditulisnya semasa menginjil.
Sambil ibu bapa Carlee meluru ke arahnya, Carlee menjawab dengan berani, “Encik, sayalah yang tulis surat itu.”
Carlee dan ibu bapanya terkejut apabila orang itu kata, “Surat ini memang apa yang saya perlukan!” Dia pun menjelaskan bahawa dia berasa sunyi kerana berkurung semasa pandemik tetapi mesej surat itu telah menggalakkannya. Dia juga sedih kerana saudara kandungnya baru meninggal tetapi surat Carlee telah melegakan hatinya.
Dia menyambung, “Jangan berhenti tulis surat seperti ini. Surat-surat kamu menyentuh hati orang, tak kira mereka balas atau tidak.”
Kini Carlee lebih berazam untuk menulis surat. Dia berkata, “Saya teruja kerana Yehuwa menggunakan saya untuk menggalakkan orang lain. Surat yang kita tulis memang dapat membantu orang.”
Saudari Myrna Lopez, dari Center, Texas, terfikir sama ada surat-suratnya dapat mencapai hati orang. Tetapi kemudian dia menikmati pengalaman yang baik dengan anak saudaranya. Myrna menulis surat kepada anak saudara itu setelah mendapat tahu bahawa dia dipenjarakan. Dia pernah menghadiri perjumpaan semasa kecil dan Myrna menulis bahawa Yehuwa tidak melupakannya.
Anak saudara itu membalas surat Myrna. Dia menerangkan bahawa dia rasa khuatir dan hilang arah tuju selepas ditahan. Semasa dalam penjara, dia mengenang masa kecilnya serta mula baca Bible dan berdoa kepada Yehuwa. Dia anggap surat Myrna sebagai jawapan kepada doanya dan membuktikan bahawa Yehuwa masih ambil berat terhadapnya.
Saudari Natalie Bibbs, dari Norcross, Georgia, menerima mesej daripada seorang wanita yang terjumpa suratnya sewaktu berjoging. Pada mulanya, wanita tersebut nampak surat itu di kaki lima dan tidak menghiraukannya. Tetapi tidak tahu kenapa, dia terfikir untuk kembali dan mengambil surat itu.
Wanita itu menulis kepada Natalie, “Saya telah menghadapi minggu yang begitu susah. Jadi, saya sangat harapkan sesuatu yang baik untuk berlaku. Surat kamu itu memang sesuatu yang baik!”
Natalie berkata, “Balasan surat itu telah meyakinkan saya bahawa tidak kira apa cara alternatif kita guna untuk menginjil, Yehuwa pasti menyokong usaha kita.”
Saudari Laura Martinez, dari Athens, Texas, akan memberi surat kepada pekerja-pekerja kedai runcit yang membawa barang makanan kepadanya semasa dia tunggu dalam kereta. Seorang pekerja wanita memberitahu Laura bahawa dia sangat terharu setelah membaca suratnya. Jadi Laura pun menulis dua lagi surat kepada wanita itu. Kini Laura sedang mengadakan pembelajaran Bible dengannya.
Pengalaman-pengalaman sebegini mengingatkan kita tentang suatu perkara yang penting. Walaupun kita tidak tahu di mana benih kebenaran akan “bertumbuh dengan subur,” Yehuwa dapat guna pelbagai cara penyebaran untuk membawa harapan dan kelegaan hati kepada orang yang berhati jujur.—Pengkhutbah 11:6.