25 DISEMBER 2020
AMERIKA SYARIKAT
Para Banduan Dapat Terus Belajar tentang Yehuwa meskipun Pandemik
Apabila pusat tahanan di seluruh Amerika Syarikat tidak lagi menerima pelawat kerana pandemik COVID-19, ratusan Saksi-Saksi Yehuwa tidak lagi dapat melawat banduan untuk memberikan bahan bacaan Bible atau belajar Bible dengan mereka. Oleh itu, ribuan banduan tidak dapat belajar tentang Yehuwa lagi. Tetapi, saudara saudari kita menggunakan cara lain untuk meneruskan kerja penyebaran di penjara tanpa melanggar arahan keselamatan COVID-19.
Saudara Dan Houghton yang mengaturkan kerja penyebaran di pusat tahanan dalam kawasan pejabat cawangan A.S. berkata, “Kami sangat risau tentang banduan yang bergantung pada makanan rohani yang kami berikan. Mereka sangat memerlukan kami sekarang.”
Contohnya, Saudara Micah Seierstad menghubungi pegawai penjara di Vacaville, California. Dia ingin meminta kebenaran daripada mereka untuk menghantar rakaman program Siaran JW ke pusat tahanan. Tanpa disangka, mereka meminta rakaman untuk disiarkan di kesemua 33 buah penjara di negeri California. Hasilnya, program konvensyen “Sentiasa Bersukacita”! tahun 2020 disiarkan sebanyak tiga kali setiap hari dalam segmen 28 minit. Maksudnya, sebanyak 130,000 orang banduan berpeluang menonton program ini.
Saudara Seierstad berkata, “Saya sangat kagum dengan apa yang dilakukan oleh Yehuwa. Apabila Dia ingin melakukan sesuatu, tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya!”
Saudara-saudara kita mendapat tahu bahawa pegawai penjara di Sarasota, Florida, ingin menyediakan buku-buku motivasi di penjara kerana lockdown membuat banduan stres. Oleh itu, para saudara menawarkan Bible dan pelbagai bahan bacaan Bible dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol. Para saudara juga mengadakan pembelajaran Bible menerusi panggilan video. Seorang banduan menulis kepada guru Biblenya, “Saya menantikan pembelajaran kita. Perbincangan kita menggalakkan saya untuk membaca Bible. Sekarang saya berfikir tentang masa depan dengan cara yang baharu.”
Kita bersukacita kerana baik pandemik mahupun tembok penjara tidak dapat menghalang Yehuwa, Bapa kita yang pengasih, daripada memenuhi keperluan rohani orang yang ingin mengenali-Nya.—Mazmur 139:7-10.