Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudari Mary Larimer bersama rakan kelasnya; sijil Mary yang bertarikh 23 Jun 1943; Mary pada tahun 2017

23 JANUARI 2024
AMERIKA SYARIKAT

Satu-Satunya Lulusan Kelas Gilead yang Pertama yang Masih Hidup Telah Meninggal pada Umur 103 Tahun

Satu-Satunya Lulusan Kelas Gilead yang Pertama yang Masih Hidup Telah Meninggal pada Umur 103 Tahun

Pada 23 November 2023, Mary M. Larimer, seorang lulusan kelas Sekolah Latihan Gilead yang pertama, telah meninggal. a Mary lahir di Scenery Hill, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada 4 Jun 1920. Dia telah dibaptis pada tahun 1935 semasa berumur 15 tahun di sebuah konvensyen di Washington, D.C., A.S. Empat tahun kemudian, Saudari Mary menceburi khidmat perintis biasa. Dia dikenali sebagai seorang penginjil yang sangat bersemangat dan rajin.

Pada Disember 1942, Mary telah menerima satu jemputan daripada Nathan Knorr, iaitu saudara yang mengambil pimpinan dalam organisasi pada masa itu. Jemputan itu adalah untuk membuat permohonan bagi Sekolah Latihan Gilead yang baru ditubuhkan. Sekolah itu “bertujuan untuk mempersiapkan saudara saudari agar dapat menjalankan kerja mubaligh di serata dunia.” Jemputan itu juga menyatakan, “Kursus ini berlangsung selama lima bulan . . . Pembelajaran yang intensif dan banyak usaha perlu dicurahkan untuk menyiapkan kursus ini dalam masa yang singkat.” Selepas menerima jemputan itu, Mary segera membuat permohonan untuk menyertai sekolah itu.

Pada 1 Februari 1943, Mary dan 99 saudara saudari lain telah memulakan kursus bagi sekolah baharu ini di South Lansing, New York, A.S. Mary ialah pelajar yang sangat tekun. Selama hampir lima bulan, dia mengerahkan sepenuh tenaga untuk mendalami Firman Tuhan sehinggalah kursus itu tamat pada 23 Jun 1943.

Mary dan pelajar lain melambai-lambai dari balkoni dekat pintu masuk bangunan sekolah Gilead di South Lansing, New York, A.S.

Setelah itu, Mary ditugaskan sebagai mubaligh di Cuba. Mengenang kembali pengalamannya pada masa itu, dia kata, “Orang di sana miskin. Kami perlu berjalan kaki untuk menginjil . . . Kami tiada kereta.” Mary berkhidmat di Cuba hingga tahun 1948. Kemudian, dia kembali ke Pennsylvania untuk menjaga ibunya yang cedera parah. Selama puluhan tahun, Mary terus melakukan kerja penyebaran dan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh. Dia tetap bujang sepanjang hidupnya, dan pada hujung hayatnya, dia berkhidmat di sebuah sidang di Glendale, California, A.S.

Mary melakukan tugasannya sebagai mubaligh dengan gembira semasa di Cuba

Mary (kiri) bersama saudari kandungnya Helen Ferrari dan suami Helen, iaitu Salvino. Helen dan Salvino telah menyertai kelas Gilead yang kedua. Kemudian, mereka juga dihantar ke Cuba

Kini, Sekolah Latihan Gilead yang ke-155 sedang berlangsung di Paterson, New York. Semasa mendapat berita tentang kematian Saudari Mary, seorang pengajar Gilead yang bernama Mark Noumair berkata, “Mary Larimer ialah seorang gadis dari pekan yang kecil yang rela mengembara ke mana saja demi Yehuwa. Walaupun dia tidak tahu ke mana dia akan pergi atau bila dia akan pulang, dia sudi melakukannya. Para mubaligh seperti Mary telah meletakkan asas dan menyumbang kepada perkembangan kerja penyebaran hari ini.”—Yesaya 6:8.

a Pada 1946, nama Sekolah Latihan Gilead dalam bahasa Inggeris, iaitu Watchtower Bible College of Gilead, telah diubah kepada Watchtower Bible School of Gilead.