Lompat ke kandungan

15 NOVEMBER 2018
AMERIKA SYARIKAT

Kebakaran Hutan Melanda California

Kebakaran Hutan Melanda California

Laporan Terkini: Pejabat cawangan Amerika Syarikat dengan sedihnya melaporkan bahawa seorang saudara yang berumur 70 tahun, yang berasal dari Paradise, Utara California, turut terkorban akibat Camp Fire.

Tiga kebakaran hutan yang dahsyat di California, Amerika Syarikat, telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 48 orang dan kemusnahan yang teruk. Kebakaran terbesar yang dikenali sebagai Camp Fire terus merebak di Utara California. Api itu telah memusnahkan 47,000 hektar (117,000 ekar) kawasan dan telah menghanguskan kira-kira 7,100 buah bangunan yang kebanyakannya merupakan tempat kediaman. Di Selatan California pula, dua kebakaran yang dikenali sebagai Hill Fire dan Woolsey Fire, telah memusnahkan 38,000 hektar (94,500 ekar) kawasan dan kira-kira 435 buah bangunan. Menurut satu laporan media, kawasan yang dijilat api akibat bencana ini adalah lebih luas daripada Belgium dan Luxembourg.

Menurut laporan awal daripada pejabat cawangan Amerika Syarikat, Camp Fire telah menyebabkan kira-kira 427 penyiar terpaksa berpindah dari Chico dan Paradise. Malangnya, seorang saudari yang lanjut usia dari Sidang Ponderosa terkorban dalam kebakaran itu. Setakat ini, kira-kira 94 buah rumah saudara saudari kita telah disahkan hangus dijilat api atau mengalami kerosakan yang teruk. Sebuah Dewan Perjumpaan di Paradise juga musnah.

Akibat Hill Fire dan Woolsey Fire, kira-kira 420 penyiar terpaksa berpindah dari bandar Oxnard, Simi Valley, dan Thousand Oaks. Sedih sekali, seorang saudara dan ibunya yang bukan Saksi terkorban semasa melarikan diri daripada kebakaran di Malibu. Laporan awal menunjukkan bahawa 21 buah rumah saudara saudari kita dan sebuah Dewan Perjumpaan telah musnah.

Pejabat cawangan telah menubuhkan dua buah Jawatankuasa Bantuan Bencana untuk menjaga keperluan saudara saudari kita. Di bawah penyeliaan para penyelia litar, penatua tempatan berusaha untuk melegakan hati saudara saudari yang menjadi mangsa dan menghulurkan bantuan praktikal kepada mereka. Pada hari Sabtu, 10 November, lebih daripada 270 saudara saudari telah menghadiri sebuah program istimewa yang diadakan di Chico. Seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Syarikat dan para penyelia litar tempatan telah memberikan kata-kata galakan berdasarkan Bible.

Kami berdoa agar saudara saudari yang menghadapi situasi yang mencabar ini mendapat kelegaan dan kekuatan daripada Yehuwa. Ingatlah, tidak lama lagi, Dia akan menghapuskan air mata dan melenyapkan kematian buat selama-lamanya.—Yesaya 25:8.