4 OGOS 2023
ANGOLA
Bible Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Nyaneka
Pada 28 Julai 2023, Saudara Salvador Domingos, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Angola, telah mengeluarkan Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Nyaneka. Pengeluaran ini diadakan semasa Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” di Lubango, Wilayah Huíla, di bahagian selatan Angola. Sebanyak 2,621 orang telah menghadiri acara itu. Para hadirin telah menerima salinan Bible masing-masing. Bible dalam bentuk digital juga tersedia untuk dimuat turun.
Kebanyakan orang Nyaneka tinggal di wilayah-wilayah Angola, termasuk Benguela, Cunene, Huíla, dan Namibe. Bahan terbitan Bible dalam bahasa Nyaneka dihasilkan di sebuah pejabat penterjemahan yang terletak di bandar Lubango.
Dulu, sesetengah persatuan Bible telah menghasilkan beberapa buku Bible dalam bahasa Nyaneka. Namun, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu ialah Bible pertama yang diterjemahkan secara keseluruhan dalam bahasa Nyaneka. Oleh sebab terdapat banyak dialek bagi bahasa Nyaneka, kumpulan penterjemah berusaha untuk menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh kebanyakan penutur bahasa Nyaneka.
Kita bersukacita bersama saudara saudari kita seraya mereka menggunakan Bible baharu ini untuk bantu lebih ramai orang belajar tentang Yehuwa dan menyembah-Nya.—Yesaya 2:3.