29 OGOS 2023
ARGENTINA
Kesaksian Awam semasa Piala Dunia B-20 FIFA di Argentina
Pada 20 Mei hingga 11 Jun 2023, Piala Dunia B-20 FIFA (untuk pasukan belia bawah umur 20 tahun) telah diadakan di empat bandar di Argentina. Terdapat kira-kira 400,000 orang dari kawasan tempatan dan luar negara yang datang untuk menonton acara ini. Saksi-Saksi Yehuwa telah mengaturkan kesaksian awam dengan menggunakan rak bahan bacaan. Kira-kira 500 saudara saudari telah menyertai aturan ini dan rak-rak telah diletakkan di beberapa lokasi pada masa yang berbeza. Para Saksi telah mengedarkan lebih daripada 500 naskhah bahan bacaan. Ramai orang melayari laman jw.org untuk mendapatkan jawapan Bible bagi soalan mereka.
Seorang lelaki tempatan yang menghampiri rak para Saksi beritahu mereka bahawa dia suka dengar podcast semasa bersenam. Saudara kita pun menunjukkan jw.org dan menjelaskan cara bahan audio dapat dimuat turun dari situ. Lelaki itu kata bahawa dia akan tambahkan bahan terbitan kita dalam playlist dia.
Untuk menarik minat pelawat antarabangsa, bahan bacaan telah dipamerkan dalam sembilan bahasa. Para Saksi juga berusaha belajar kata-kata sapaan dalam pelbagai bahasa supaya dapat menyambut orang yang mendekati rak. Seorang saudara yang menyertai aturan kesaksian ini berkata, “Usaha yang dicurahkan untuk mencapai orang daripada pelbagai latar belakang mengukuhkan keyakinan saya bahawa Yehuwa benar-benar baik hati dan tidak berat sebelah. Ini buat saya sangat gembira.”
Terdapat satu lagi hal yang amat memberangsangkan. Atas tujuan keselamatan, para pengunjung biasanya tidak diizinkan berkumpul di lokasi-lokasi tertentu. Namun demikian, para penganjur acara FIFA ini telah mengizinkan para Saksi meletakkan rak bahan bacaan di lokasi-lokasi tersebut. Mengenai keputusan ini, salah seorang penganjur berkata, “Kami tahu Saksi-Saksi Yehuwa bersifat damai dan tidak menggugat ketenteraman awam.” Hasilnya, kesaksian yang baik dapat diberikan kepada para pegawai keselamatan yang bertugas.
Kita sangat digalakkan untuk melihat umat Yehuwa bekerja keras untuk mencapai orang dari serata dunia dan menyebarkan benih kebenaran.—Pengkhutbah 11:6.