Lompat ke kandungan

29 JUN 2023
ARGENTINA

Mengongsi Berita Baik di Kawasan Terpencil di Argentina dan Uruguay

Mengongsi Berita Baik di Kawasan Terpencil di Argentina dan Uruguay

Dari Januari hingga April 2023, pejabat cawangan Argentina telah mengaturkan kempen penyebaran istimewa di kawasan terpencil di Argentina dan Uruguay. Lebih daripada 9,500 penyiar telah menyertainya, dan mereka telah dibahagikan kepada kira-kira 700 kumpulan. Para penyiar telah membantu 146 sidang Saksi-Saksi Yehuwa yang terletak di tempat yang terpencil di sekitar kawasan cawangan.

Di Argentina dan Uruguay, lebih daripada sejuta orang tinggal di pekan kecil, perkampungan orang asli, dan kawasan pedalaman. Sepanjang tiga tahun yang lalu, para penyiar susah mencapai orang di kawasan sedemikian. Maka, mereka sangat gembira kerana kempen ini membuka jalan bagi mereka untuk menginjil di kawasan terpencil itu.

Saudara Adrián Donadío dan isterinya Karina telah membuat perjalanan hampir 1,600 kilometer untuk pergi ke Tartagal, Argentina. Itulah tempat yang ditugaskan kepada mereka. Adrián berkata, “Kami dapat lihat bagaimana penduduk di sana mendahagakan kebenaran Bible. Jadi kami sangat gembira dapat mengongsi berita baik dengan mereka.”

Perhatikan juga pengalaman tentang dua penyiar di Argentina. Sebelum pandemik, mereka telah mengunjungi sepasang suami isteri yang berumur 90-an di pekan Barrancas. Pada masa itu, mereka juga memulakan pembelajaran Bible bersama pasangan tua itu. Tetapi selama tiga tahun, pasangan itu tidak dapat berhubung dengan para Saksi kerana rumah mereka terlalu jauh dan rangkaian Internet di sana juga tidak stabil. Walaupun demikian, pasangan itu terus membaca Bible setiap hari dan berdoa agar Yehuwa menghantar seseorang untuk melawat mereka lagi. Betapa gembiranya mereka apabila para penyiar diutus ke kawasan mereka semasa kempen itu. Mereka mengucapkan syukur kepada Yehuwa kerana menjawab doa mereka. Aturan telah dibuat untuk menyambung pembelajaran Bible bersama mereka.

Saudara Eduar Ferreira dan isterinya Alejandra merupakan perintis biasa yang berkhidmat di Montevideo, Uruguay. Mereka telah pergi ke kawasan terpencil di Uruguay yang terletak sejauh 400 kilometer untuk menyokong kempen ini. Mereka juga membawa tiga orang anak mereka yang berumur 11, 15, dan 17 tahun. Eduar berkata, “Anak-anak kami sangat menikmati kerja penyebaran di sana. Kami pun rasa sangat gembira melihat sukacita mereka. Kami tidak sabar-sabar untuk mengikut kempen seterusnya!”

Kita bergembira apabila melihat berkat yang Yehuwa curahkan atas saudara saudari kita yang bertungkus lumus untuk “memberikan kesaksian yang menyeluruh” di kawasan yang terpencil.—Kisah 10:42.