22 APRIL 2024
ARGENTINA
Pentahbisan Bangunan Bethel yang Baharu di Argentina
Pada 6 April 2024, bangunan Bethel yang baharu di Buenos Aires, Argentina, telah ditahbiskan. Ceramah pentahbisan telah disampaikan oleh Saudara Jeffrey Winder, seorang ahli Badan Pimpinan. Kira-kira 500 saudara saudari telah menghadiri program ini di tiga dewan yang terletak dalam bangunan Bethel. Selain itu, 5,844 orang yang lain telah menonton siaran program ini di sebuah Dewan Perhimpunan di bandar Ezeiza. Pada hari yang seterusnya, sebuah perjumpaan istimewa telah diadakan di Dewan Perhimpunan itu dan disiarkan di semua sidang di Argentina dan Uruguay. Jumlah hadirin bagi perjumpaan istimewa itu ialah 181,643 orang.
Aturan telah dibuat bagi para pengunjung untuk melawat bangunan baharu itu dan menikmati pergaulan dengan saudara saudari. Terdapat juga aktiviti lain yang dirancangkan. Lebih daripada 230 saudara saudari dari 25 negara dan kawasan telah datang untuk acara ini. Sergio Spaccasassi, yang kini berkhidmat di Ecuador, ialah salah seorang saudara yang membantu dalam kerja pembinaan cawangan baharu di Argentina. Mengenai acara ini dan para pengunjung yang hadir, dia kata, “Yehuwa menggunakan acara istimewa seperti ini untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan kita.”
Saudara Juan Carlos Nigro, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Argentina, berkata, “Kami melihat bagaimana Yehuwa membimbing dan memberkati seluruh projek ini. Dialah yang memberi kita bangunan yang indah ini, yang dapat digunakan untuk memuji nama-Nya.”
Seperti saudara saudari kita di Argentina, kita turut bersyukur kepada Yehuwa kerana menyediakan bangunan baharu ini. Dialah yang “membuat segala sesuatu dengan baik, tepat pada waktunya.”—Pengkhutbah 3:11.