Lompat ke kandungan

Kiri: Gambar dari akhbar yang menunjukkan Cecilia Alvarez, berumur 10 tahun, selepas pembedahan yang ke-17; Kanan: Cecilia bersama dengan ibu bapa dan adiknya pada Mei 2019

7 OGOS 2019
ARGENTINA

Saudari Cecilia Alvarez Menjalani 43 Pembedahan Tanpa Darah dalam Masa 25 Tahun

Saudari Cecilia Alvarez Menjalani 43 Pembedahan Tanpa Darah dalam Masa 25 Tahun

Saudari Cecilia Alvarez dari Argentina, telah mengalami masalah kesihatan yang serius seumur hidupnya. Dia mengalami kecacatan sejak lahir pada tulang belakang dan membran tulang belakangnya. Para doktor di Argentina menjalani pembedahan untuk mengatasi kecacatan itu. Pada 18 Mei 1994, dia dibedah buat kali pertama semasa hanya berumur 16 hari. Sejak hari itu sampai sekarang, 25 tahun sudah berlalu. Sepanjang masa itu, Cecilia telah bertabah menjalani 42 pembedahan yang lain. Kebanyakan pembedahan itu dilakukan semasa dia masih kecil. Baru-baru ini, pinggul kirinya harus dibedah. Seperti semua pembedahan yang sebelumnya, pembedahan kali ini juga berjaya dilakukan tanpa transfusi darah.

1999: Cecilia yang berumur lima tahun di Hospital Kanak-Kanak Juan P. Garrahan

Cecilia mengakui, “Saya rasa sangat stres kerana tubuh saya harus menjalani begitu banyak prosedur perubatan dan pembedahan.” Meskipun demikian, dia tetap bergantung pada Yehuwa dan berpandangan positif. Selain itu, dengan sokongan ibu bapanya, dia juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikut nasihat doktor. Cecilia berkata, “Satu hal yang mustahak ialah mempersiapkan tubuh saya sebelum pembedahan. Saya perlu makan ubat yang mengandungi zat besi, folik asid, erythropoietin, dan makanan yang kaya dengan zat besi yang boleh meningkatkan penghasilan sel darah merah.”

Mengenai pasukan doktor yang telah membantunya selama ini, Cecilia berkata, “Saya amat menghargai sumbangan mereka, kerana mereka bukan sahaja menyelamatkan nyawa saya, tetapi juga kerana mereka menghormati pendirian saya untuk menolak transfusi darah.”

Doktor Ernesto Bersusky, bekas patologi tulang belakang

Para doktor yang bekerjasama dengan Cecilia juga menyatakan bahawa mereka menghormati Cecilia dan saudara saudari yang membantunya. Doktor Ernesto Bersusky ialah bekas ketua patologi tulang belakang di Hospital Kanak-Kanak Juan P. Garrahan di Buenos Aires. Dia terlibat dalam beberapa pembedahan utama untuk tulang belakang Cecilia. Doktor Bersusky berkata, “Semasa saya bersama dengan Cecilia, saya dapat lihat betapa kuat tekadnya ketika menjelaskan kepercayaannya. Sudah banyak kali saya bercakap dengannya tentang apa yang akan saya lakukan dan meyakinkannya bahawa transfusi darah tidak akan diberikan.”

Doktor Susana Ciruzzi, peguam dan ahli bioetika

Doktor Susana Ciruzzi ialah seorang peguam dan ahli jawatankuasa bioetika di Hospital Kanak-Kanak Juan P. Garrahan. Dia berkata, “Terdapat kerjasama yang baik antara Saksi-Saksi Yehuwa dengan komuniti perubatan. Kami telah berganding bahu dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan bersetuju untuk mengubah bukan sahaja cara pemikiran, tetapi juga meningkatkan teknik dan pengetahuan kami. Dengan itu, kami berjaya menghasilkan cara-cara rawatan baharu tanpa melibatkan transfusi darah.”

Cecilia bersyukur kepada pakar doktor yang telah membantunya. Dia juga rasa kejayaannya adalah kerana sokongan daripada rakan seiman. Cecilia berkata, “Saya amat menghargai usaha Jawatankuasa Perhubungan Hospital (HLC) dan Kumpulan Melawat Pesakit. Mereka rela berkorban dan selalu sedia membantu walaupun mempunyai keluarga dan tanggungjawab yang lain. Saya amat berterima kasih atas sokongan mereka.”

Sekarang, Cecilia berumur 25 tahun. Walaupun dia harus selalu menahan kesakitan dan menggunakan kerusi roda, dia dikenali ramai kerana sikapnya yang positif. Malahan, Cecilia berkata, “Saya rasa kesusahan yang saya alami membantu saya memupuk sifat-sifat Kristian dan keperibadian yang lebih baik.”

Julai 2019: Cecilia menginjil bersama seorang saudari perintis

Cecilia menyambung, “Selepas salah satu pembedahan, seorang ahli HLC melawat saya. Dia memetik ayat di Amsal 10:22 yang berbunyi, ‘Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati [yang berkekalan].’ Ayat itu terpahat dalam fikiran dan hati saya.”

Pada 1 Mei 2019, saudari Cecilia menerima berkat yang sangat istimewa. Dia dilantik untuk menjadi perintis biasa. Jelaslah, Yehuwa telah melegakan hati dan meneguhkan saudari kita yang dikasihi. Hasilnya, dia dengan sukacita menyebarkan berita daripada Firman Tuhan yang membawa kelegaan hati kepada orang lain.

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus melegakan hati kita tidak kira apa jua cabaran yang kita hadapi, sepertimana yang dilakukan-Nya terhadap Cecilia.—2 Korintus 1:4.