Lompat ke kandungan

Dua belas orang saudara yang disabit bersalah pada tahun 2012 kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, bersama dengan peguam mereka (tengah) pada Januari 2019

9 DISEMBER 2019
ARMENIA

Armenia Dinyatakan Bersalah oleh ECHR kerana Memenjarakan 22 Saudara yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Armenia Dinyatakan Bersalah oleh ECHR kerana Memenjarakan 22 Saudara yang Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani

Pada 5 Disember 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) sebulat suara membuat keputusan bahawa tindakan Armenia memenjarakan 22 orang Saksi-Saksi Yehuwa yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani adalah tidak adil. ECHR menyuruh Armenia membayar pampasan sebanyak 267,000 dolar (242,000 euro) kepada saudara kita yang enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani. Pampasan ini merupakan jumlah yang tertinggi yang pernah diputuskan oleh ECHR.

Pada tahun 2012, saudara kita telah disabitkan bersalah kerana mereka menolak khidmat tentera dan khidmat awam alternatif (ACS). Mereka menolak ACS kerana program itu masih diawasi oleh pihak tentera dan berkaitan dengan kegiatan ketenteraan. Akibatnya, 20 daripada mereka telah dipenjarakan. Mereka kemudiannya dibebaskan pada tahun 2013, ketika Armenia menyediakan ACS yang tidak ada kaitan dengan kegiatan ketenteraan. Sejak itu, saudara-saudara kita tidak lagi dipenjarakan.

Keputusan ECHR pada 5 Disember yang lalu adalah berdasarkan kemenangan yang diberikan kepada Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2017, iaitu dalam kes Adyan and Others v. Armenia. ECHR menyatakan bahawa Armenia tahu bahawa kes ini adalah serupa dengan kes Adyan and Others v. Armenia, dan sepatutnya berusaha untuk menanganinya dengan damai. Walaupun saudara kita sudah mencuba berkali-kali, Armenia tetap enggan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Oleh itu, ECHR sebulat suara berpihak pada saudara-saudara kita.

Kami bersyukur kerana sejak tahun 2013, seseorang boleh menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani di Armenia. Saudara-saudara yang tetap berpendirian neutral tidak akan dipenjarakan atau mempunyai rekod jenayah. Selama tujuh tahun yang lalu, tindakan Armenia dalam menyediakan khidmat awam alternatif (ACS) telah menjadi teladan bagi negara-negara lain. Namun, keputusan yang dibuat ECHR pada 5 Disember menyatakan bahawa Armenia telah gagal mematuhi undang-undang antarabangsa pada tahun 2012.

Keputusan ini menunjukkan bahawa ECHR tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman terhadap negara yang melanggar undang-undang antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana memberikan kemenangan luar biasa kepada para saudara di Armenia. Kita berharap agar keputusan ini juga membuka jalan kepada saudara-saudara di negara lain yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan semoga khidmat awam alternatif tersedia di negara-negara seperti Azerbaijan, Korea Selatan, Turki, dan Turkmenistan.