Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Emin Mkhitaryan, Gor Mushkambaryan, Mikayel Davtyan, Artsakh Tumanyan, dan Hovhannes Sargsyan melakukan kerja sanitasi sebagai khidmat awam alternatif

11 JANUARI 2024
ARMENIA

Ulang Tahun ke-10 Khidmat Awam Alternatif di Armenia

“Pengasasan khidmat awam alternatif ialah salah satu keputusan terbaik yang dibuat oleh pihak kerajaan,” kata seorang wakil Jabatan Khidmat Alternatif Jawatankuasa Republik Armenia

Ulang Tahun ke-10 Khidmat Awam Alternatif di Armenia

Tanggal 14 Januari 2024 menandakan ulang tahun ke-10 sejak khidmat awam alternatif mula diperkenalkan di Armenia. Dengan adanya khidmat alternatif, orang yang menolak khidmat tentera masih boleh menyumbang kepada masyarakat. Contohnya, mereka boleh bekerja dalam bidang pembinaan, landskap, kebajikan, atau khidmat awam yang lain. Sejak khidmat ini diperkenalkan, lebih daripada 450 pemuda Saksi-Saksi Yehuwa telah membuat keputusan untuk menyertainya.

Saudara Samuel Petrosyan menjalankan khidmat awam alternatif di sebuah taman

Saudara Samuel Petrosyan yang membantu dalam bahagian landskap berkata, “Saya berusaha untuk membina reputasi yang baik. Contohnya, saya bersikap jujur dan melakukan kerja saya dengan teliti. Jadi, supervisor saya layan saya dengan baik dan hormat.”

Saudara Artur Martirosyan pula bertugas di sebuah hospital selama tiga tahun. Dia kata, “Saya sangat menghargai peluang untuk bantu orang lain. Pengalaman ini buat saya lebih matang dan fleksibel. Saya juga dapat menangani stres dan berkomunikasi dengan lebih baik.”

Sebelum pengasasan khidmat alternatif pada 2014, para Saksi di Armenia akan dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh yang sangat lama jika mereka menolak khidmat tentera. Seorang pegawai tinggi kerajaan meluahkan pendapatnya tentang khidmat awam alternatif di Armenia. Dia kata, “Pada mulanya, saya membantah aturan khidmat awam alternatif kerana saya risau ini akan menimbulkan isu keselamatan negara atau disalahgunakan. . . . Tapi, masa telah membuktikan bahawa pendapat saya salah. Selepas beberapa tahun, kita dapat lihat dengan jelas . . . bahawa Saksi-Saksi Yehuwa tidak menggugat keselamatan negara semasa melakukan khidmat awam alternatif. Sebaliknya, mereka sangat rajin dan berdedikasi. Kita dapat lihat hasil baik ini kerana adanya khidmat alternatif.”

Saudara Spartak Sholyan dan Artyom Aghbalyan bekerja di pusat penjagaan sebagai khidmat awam alternatif

Seorang anggota Jabatan Khidmat Alternatif Jawatankuasa Republik Armenia juga berkata, “Sudah 10 tahun sejak kami mengasaskan khidmat awam alternatif di Armenia . . . Kami berbesar hati untuk mengakui bahawa pengasasan khidmat awam alternatif ialah salah satu keputusan terbaik yang dibuat oleh pihak kerajaan. Pemeriksaan berkala dibuat di tempat-tempat khidmat awam dijalankan. Kami dapati bahawa mereka yang melakukan khidmat ini sangat rajin, bersikap positif, dan selalu gembira. Tahun demi tahun, kami menerima banyak surat penghargaan yang memuji para Saksi yang menyertai khidmat awam alternatif. Pihak atasan selalu memuji [para Saksi] dan kata mereka ialah pekerja yang paling baik.”

Saksi-Saksi Yehuwa di Armenia sangat menghargai peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat menerusi khidmat awam alternatif. “Perbuatan [mereka] yang baik” juga membawa pujian kepada Yehuwa.—1 Petrus 2:12.