Lompat ke kandungan

Saudara Seymur Mammadov dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nuraninya

20 OKTOBER 2022
AZERBAIJAN

Azerbaijan Melanggar Keputusan ECHR dan Memenjarakan Seymur Mammadov kerana Menolak Khidmat Tentera

Azerbaijan Melanggar Keputusan ECHR dan Memenjarakan Seymur Mammadov kerana Menolak Khidmat Tentera

Pada 22 September 2022, Mahkamah Daerah Goranboy di Azerbaijan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas Saudara Seymur Mammadov, yang berumur 22 tahun, kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nuraninya. Dia ditangkap di mahkamah sejurus selepas keputusan itu diumumkan. Keputusan itu secara terang-terang melanggar dua keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang dibuat berkenaan Azerbaijan.

Sejak 2019, ECHR membuat dua keputusan yang tidak berpihak kepada Azerbaijan dalam kes Mamedov and Others lwn. Azerbaijan dan Mekhtiyev and Abilov lwn. Azerbaijan. Kedua-dua keputusan itu menyokong hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk menolak khidmat tentera atas kepercayaan agama. Hak itu dijamin di bawah Perkara 9 Konvensyen Eropah.

Dalam kedua-dua kes tersebut, kerajaan Azerbaijan mengaku kepada ECHR bahawa mereka telah mencabuli hak saudara saudari kita. Mereka juga meluahkan kesudian untuk memberi pampasan atas semua kerugian kewangan dan bukan kewangan. Namun, dengan melanggar hak Saudara Seymur, kerajaan Azerbaijan sama sekali telah mengetepikan keputusan ECHR.

Pada 4 Mei 2022, Seymur Mammadov mula-mula disuruh untuk mendaftar diri bagi khidmat negara di bawah State Service for Mobilization and Conscription di Wilayah Goranboy. Dia menjelaskan pendiriannya yang berdasarkan ajaran Bible kepada para pegawai dan meminta untuk khidmat awam alternatif. Mereka enggan menunaikan permintaan Seymur yang adil itu. Meskipun diberi banyak tekanan, Saudara Seymur tetap berpegang pada pendiriannya dengan berani.

Kini, Seymur ditahan di bandar Ganja. Walaupun dalam keadaan yang susah, Seymur masih bersikap positif. Dia memberitahu bahawa dia dapat mengongsi kepercayaannya kepada sekitar 30 banduan. Dia bahkan memaklumkan bahawa ada antara mereka yang menunjukkan minat terhadap mesej Bible.

Peguam Seymur telah membuat rayuan. Semoga Mahkamah Rayuan Ganja akan membuat keputusan yang adil agar saudara kita akan dibebaskan dari penjara.

Tanpa ragu-ragu, kita yakin Yehuwa akan terus menyokong Seymur semasa menghadapi cabaran ini.—Yesaya 43:2.