Lompat ke kandungan

5 JANUARI 2021
AZERBAIJAN

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Membuat Keputusan yang Memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Membuat Keputusan yang Memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan

Pada 15 Disember 2020, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB membuat dua keputusan penting yang memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan. Keputusan tersebut berkaitan dengan kes Rahima Huseynova lwn. Azerbaijan; dan Saladdin Mammadov, Rashad Niftaliyev dan Sadagat Abbasova lwn. Azerbaijan. Dalam kedua-dua kes, Jawatankuasa itu memutuskan bahawa kerajaan Azerbaijan telah mencabuli hak asasi saudara saudari kita dan meminta agar pihaknya mengubah undang-undang negaranya supaya tidak melanggar hak tersebut pada masa depan.

Kes Rahima Huseynova lwn. Azerbaijan bermula kerana pada Disember 2014, pegawai penguatkuasaan undang-undang di Baku memenjarakan Saudari Rahima Huseynova atas alasan mengongsi kepercayaannya dengan orang lain. Kemudian, mahkamah daerah mengenakan denda sejumlah 1,500 Manat Azerbaijan (RM3,550) ke atas Saudari Rahima. Alasannya ialah Saksi-Saksi Yehuwa bukan agama yang berdaftar di Baku pada masa itu. a Selepas membuat rayuan, Mahkamah Rayuan Baku enggan mengubah keputusan mahkamah daerah. Akhirnya, Saudari Huseynova membawa kesnya ke mahkamah antarabangsa.

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB memutuskan bahawa kerajaan Azerbaijan telah melanggar Perkara 18 (1) dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Jawatankuasa itu menuntut agar pihak Azerbaijan membayar pampasan yang sewajarnya kepada saudari kita. Dalam keputusan yang diterbitkan, Jawatankuasa itu menyatakan bahawa kerajaan Azerbaijan “diwajibkan untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelak pelanggaran hak daripada berlaku pada masa depan. Langkah-langkah itu termasuk meninjau semula peraturan, amalan, dan/atau undang-undang tempatan untuk memastikan hak-hak di bawah perkara 18 dalam [ICCPR] dapat dinikmati dengan sepenuhnya.”

Kes Saladdin Mammadov, Rashad Niftaliyev dan Sadagat Abbasova lwn. Azerbaijan adalah berkenaan sekumpulan saudara saudari di Ganja yang mengadakan perjumpaan untuk belajar Bible di rumah Saudara Saladdin Mammadov. Pada Oktober 2014, pegawai polis menyerbu dan menggeladah rumahnya serta merampas Bible dan barang lain. Saudara Mammadov, Saudara Rashad Niftaliyev, dan Saudari Sadagat Abbasova dibawa ke balai polis dan ditahan lebih daripada enam jam. Dua hari kemudian, mereka diminta untuk menghadap Mahkamah Daerah Nizami di Bandar Ganja. Mahkamah memutuskan bahawa perjumpaan itu tidak sah kerana kumpulan saudara saudari itu bukan sebahagian daripada pertubuhan agama yang berdaftar di Ganja. Mereka didenda sebanyak 2,000 Manat Azerbaijan (RM 4,733) setiap seorang. Kemudian, saudara saudari membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Ganja. Malangnya, keputusan mahkamah daerah tidak diubah. Selepas itu, mereka merayu kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.

Jawatankuasa tersebut mendapati bahawa kerajaan Azerbaijan telah melanggar banyak perkara yang tercatat dalam ICCPR dan patut memberi pampasan kepada tiga saudara saudari kita. Yang penting, dalam keputusan yang diterbitkan, Jawatankuasa itu menyatakan, “Mahkamah Daerah Nizami tidak menjelaskan mengapa Saksi-Saksi Yehuwa perlu didaftarkan terlebih dahulu dengan kerajaan Azerbaijan sebelum mengamalkan agama mereka di rumah peribadi.” Keputusan Jawatankuasa itu mengesahkan bahawa saudara saudari kita di Azerbaijan berhak untuk beribadat bersama dan tidak perlu didaftar dari segi undang-undang.

Sama seperti kes Rahima Huseynova, Jawatankuasa itu juga meminta kerajaan Azerbaijan untuk meninjau semula “peraturan, amalan, dan/atau undang-undang tempatan” bagi memastikan hak yang dijamin dalam ICCPR sentiasa dihormati.

Kita bersyukur kerana beberapa tahun ini situasi di Azerbaijan bertambah baik dan pihak berkuasa tidak mengganggu hak saudara saudari kita untuk beribadat. Semoga kedua-dua keputusan ini akan membantu kita memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik di Azerbaijan.—Filipi 1:7.

a Pada November 2018, kerajaan Azerbaijan telah mengizinkan Saksi-Saksi Yehuwa untuk didaftarkan secara sah di sisi undang-undang di Baku.