Lompat ke kandungan

28 MEI 2021
AZERBAIJAN

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Mempertahankan Hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk Mengadakan Perjumpaan

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Mempertahankan Hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk Mengadakan Perjumpaan

Pada 26 April 2021, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB membuat keputusan penting dalam kes Aziz Aliyev dan Lain-lain lwn. Azerbaijan. Inilah keputusan ketiga oleh Jawatankuasa itu yang menjunjung hak kebebasan beragama bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan.

Kes ini berkenaan serbuan polis yang tidak sah di penempatan Aliabad, Daerah Zaqatala. Pada 21 September 2013, pegawai polis menyerbu rumah Saudara Aziz Aliyev semasa beberapa Saksi Yehuwa berkumpul untuk perjumpaan sidang. Para pegawai menggeledah rumahnya dan mengancam saudara saudari kita. Mereka juga merampas bahan bacaan, dokumen perubatan dan perundangan, serta wang milik para Saksi. Kemudian, pegawai polis membawa mereka semua ke balai. Dalam perjalanan ke balai, Saudari Havva Aliyeva diserang sawan dan menjadi tidak sedar diri. Oleh itu, pegawai polis terpaksa membawanya ke hospital. Sejurus selepas dia sedar, dia dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Selepas itu, Mahkamah Daerah Zaqatala mengenakan denda 1,500 Manat Azerbaijan (RM7,070 pada masa itu) ke atas kebanyakan saudara saudari kita. Mahkamah Rayuan Shaki juga menyokong keputusan mahkamah daerah itu yang tidak mengikut undang-undang. Saudara saudari telah melakukan yang terdaya untuk membuat rayuan bagi kes mereka di Azerbaijan, tetapi semua itu tidak berhasil. Maka, mereka merayu kepada Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB.

Jawatankuasa tersebut memutuskan bahawa kerajaan Azerbaijan telah mencabuli hak kebebasan beragama serta menangkap dan menghukum saudara saudari kita secara tidak sah. Keputusan itu juga menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa telah diganggu oleh pihak berkuasa dan pegawai polis, yang “mengugut untuk memenjarakan mereka, menghina sesetengah antara mereka, dan mengkritik agama mereka. Tetapi pihak berkuasa tidak pernah menjelaskan bagaimana bahan bacaan atau perjumpaan mereka dapat memudaratkan orang lain.” Akhirnya, kerajaan Azerbaijan diarahkan untuk membayar pampasan kepada saudara saudari kita dan “mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengelak pelanggaran hak daripada berlaku pada masa depan. Langkah-langkah itu termasuk meninjau semula peraturan, amalan, dan/atau undang-undang tempatan.”

Kita bersukacita kerana beberapa tahun kebelakangan ini, saudara saudari di Azerbaijan dibenarkan untuk berkumpul dan beribadat tanpa gangguan. Kita bersyukur kepada Tuhan Yehuwa kerana kebenaran terus dipertahankan di sisi undang-undang dalam mahkamah sekarang.—Filipi 1:7.