4 FEBRUARI 2022
AZERBAIJAN
Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB Menegakkan Hak Para Saudari untuk Menginjil di Azerbaijan
Pada November dan Disember 2021, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CCPR) membuat dua keputusan yang menegakkan hak Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengongsi kepercayaan mereka. Kedua-dua keputusan ini berkaitan dengan para saudari yang ditangkap oleh pihak berkuasa di Azerbaijan kerana memberitahu orang lain tentang mesej Bible.
Pada 5 November 2021, CCPR menjunjung hak Saudari Matanat Gurbanova dan Saudari Saadat Muradhasilova untuk menginjil. Mereka ditangkap selepas pihak berkuasa terima aduan daripada seseorang (namanya tidak diketahui) pada November 2014. Saudari kita masing-masing didenda sebanyak 1,500 Manat Azerbaijan (kira-kira RM3,678). CCPR memutuskan bahawa tangkapan tersebut adalah tidak sah dan mengarahkan agar Azerbaijan lakukan apa yang diperlukan supaya perkara sedemikian tidak akan diulangi pada masa depan.
Matanat dan Saadat (adik-beradik kandung) berkata, “Pegawai polis dan hakim cuba takutkan kami, tapi apa yang berlaku telah kuatkan iman kami. Sekali lagi, Yehuwa buktikan bahawa tidak ada apa-apa yang dapat halang-Nya dan Dia tahu bila serta cara untuk lindungi penyembah-Nya.”
Dalam keputusan yang serupa pada 21 Disember 2021, CCPR memutuskan bahawa pegawai polis di Azerbaijan melanggar undang-undang apabila mereka menahan Saudari Jeyran Azizova dan Saudari Gulnaz Israfilova kerana “melakukan aktiviti keagamaan di luar alamat tempat tinggal mereka.” Dalam keputusannya, CCPR mengesahkan bahawa saudari-saudari kita tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang dengan mengongsi kepercayaan mereka.
Semasa lawat kawan-kawan di Wilayah Goranboy, Azerbaijan pada November 2016, Jeyran dan Gulnaz mengongsi mesej Bible dengan orang lain. Seorang pegawai tempatan mengadu kepada polis, dan saudari-saudari kita ditangkap. Semasa perbicaraan, seorang hakim menuduh mereka ialah pengintip dan mengenakan denda sebanyak 2,000 Manat Azerbaijan (kira-kira RM4,915). Kemudian, mahkamah rayuan juga menjunjung keputusan tersebut. Jadi, saudari-saudari kita membuat rayuan kepada CCPR.
Keputusan mahkamah yang lindungi hak kita membolehkan kita mengongsi berita baik dengan bebas. Ini ialah kerja kita yang terpenting. Kita bersukacita bersama para saudari kita yang menetapkan teladan baik untuk menginjil dengan berani.—Matius 10:18.