27 FEBRUARI 2020
AZERBAIJAN
Kemenangan ECHR dalam Kes Mahkamah di Azerbaijan
Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) telah memberi Saksi-Saksi Yehuwa dua kemenangan dalam kes yang berkaitan dengan kebebasan beragama di Azerbaijan. Kami berharap keputusan ECHR ini akan membantu saudara saudari kita di seluruh negara itu menikmati kebebasan beragama.
Pada 20 Februari 2020, mahkamah ECHR membuat keputusan bagi dua kes, iaitu Nasirov and Others lwn. Azerbaijan dan Religious Community of Jehovah’s Witnesses lwn. Azerbaijan. Kes-kes ini telah diserahkan kepada ECHR pada 2010 dan 2009. Dalam kes Nasirov, mahkamah membuat keputusan bahawa Azerbaijan telah melanggar Artikel 5 dan 9 (Kebebasan Diri dan Kebebasan Beragama) dalam Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Pada tahun 2010, para Saksi sering kali ditahan, disabitkan bersalah, dan didenda kerana menginjil. Mahkamah ECHR memutuskan agar sejumlah $3,235.80 dolar (EUR 3,000) diberikan sebagai pampasan kepada setiap Saksi yang diseksa. Jumlah pampasan yang diberikan ialah $22,650.60 dolar (EUR 21,000). Dalam kes Religious Community of Jehovah’s Witnesses, mahkamah memutuskan bahawa Azerbaijan telah melanggar Artikel 10 (Kebebasan Bersuara) dalam Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah kerana menghalang para Saksi daripada mengimport dan mengedarkan sesetengah bahan bacaan kita.
Jason Wise, seorang peguam dalam kes ini berkata, “Selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan menghadapi masalah untuk mengimport dan mengedarkan bahan bacaan mereka. Terdapat banyak kes yang dibawa ke mahkamah agar kami diizinkan untuk mengimport bahan bacaan kami. Dan ada banyak lagi kes kerana pihak kerajaan telah menahan para Saksi yang sedang menginjil. Kemenangan yang diberikan oleh ECHR dalam kedua-dua kes ini sangat penting bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan. Dalam kes Religious Community of Jehovah’s Witnesses, Mahkamah menyatakan bahawa bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa tidak menimbulkan masalah untuk agama lain di negara kami atau membawa kesan buruk kepada masyarakat. Dalam kes Nasirov, Mahkamah menyatakan bahawa kami berhak mengedarkan bahan bacaan di tempat umum kepada orang yang bukan Saksi. Kami sangat gembira kerana ECHR telah melindungi kebebasan beragama dan kebebasan bersuara bagi rakyat Azerbaijan.”
Saudara Famil Nasirov mengatakan, “Dulu, kami menghadapi banyak kesusahan di Azerbaijan. Pihak polis sering menahan kami dan menyoal siasat kami selama empat hingga lima jam. Tetapi, dengan adanya sokongan Yehuwa dan usaha saudara kita, hal ini tidak lagi berlaku. Sekarang, kami dapat menginjil dengan bebas.”
Bahkan sebelum keputusan ECHR dibuat, para Saksi di Azerbaijan telah menikmati lebih banyak kebebasan beribadat berbanding dahulu. Kerajaan Azerbaijan telah membenarkan para Saksi untuk mengimport dan mengedarkan bahan bacaan kita. Sejak Januari 2017, tiada saudara saudari kita yang didenda kerana menghadiri perjumpaan. Kini, perjumpaan diadakan di tiga Dewan Perjumpaan di Baku, atau di rumah saudara saudari. Sejak tahun 2015, agensi kerajaan Azerbaijan yang bertanggungjawab untuk mendaftar dan memantau pertubuhan agama di Azerbaijan, telah mengizinkan Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengadakan sambutan Peringatan kematian Yesus, konvensyen serantau, dan perhimpunan di lokasi yang disewa.
Kami sangat bersyukur kerana Yehuwa terus menyokong rakan seiman di Azerbaijan dan memberkati mereka dengan keputusan mahkamah ini.—Mazmur 98:1.