24 DISEMBER 2020
AZERBAIJAN
Keputusan ECHR Menyokong Kebebasan Beribadat di Azerbaijan
Pada Oktober dan November 2020, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) telah membuat beberapa keputusan yang menyokong Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan. Kes-kes itu ialah Gridneva lwn. Azerbaijan, Sheveli and Shengelaya lwn. Azerbaijan, Jafarov lwn. Azerbaijan, dan Tagiyev lwn. Azerbaijan. Keputusan ECHR ini mengukuhkan hak saudara saudari kita di sana untuk menginjil, berkumpul untuk beribadat, dan mengimport bahan bacaan ke Azerbaijan.
Kes-kes ini difailkan ke ECHR pada tahun 2011 dan 2012. Kes Gridneva lwn. Azerbaijan dan Sheveli and Shengelaya lwn. Azerbaijan melibatkan tindakan pihak berkuasa yang menyerbu perjumpaan sidang atau menghalang aktiviti penyebaran. Kes Jafarov lwn. Azerbaijan dan Tagiyev lwn. Azerbaijan pula melibatkan tindakan kerajaan yang tidak meluluskan atau mengehadkan bahan bacaan kita yang diimport ke negara itu.
Mengenai tiga daripada empat kes itu (Gridneva lwn. Azerbaijan, Jafarov lwn. Azerbaijan, dan Tagiyev lwn. Azerbaijan), kerajaan Azerbaijan mengaku mencabuli hak saudara saudari kita dan bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak 10,500 euro (RM 51,600).
Kes Sheveli and Shengelaya lwn. Azerbaijan pula melibatkan seorang penyelia litar dan isterinya yang telah ditangkap dan dibuang negeri. ECHR mengarahkan kerajaan Azerbaijan untuk membayar pasangan itu pampasan sebanyak 3,000 euro (RM 14,800).
Keputusan ECHR bagi kes ini menyatakan, “Menghukum [pasangan ini] kerana berdoa atau beribadat mengikut kepercayaan mereka [tidak] selaras dengan Konvensyen [Hak Asasi Manusia Eropah]. Tindakan menghukum pasangan ini bererti bahawa kerajaan Azerbaijan tidak mengiktiraf agama yang tidak didaftarkan. Maksudnya, kerajaan itu sedang mengawal apa yang harus dipercayai oleh seseorang.”
Kebelakangan ini, kerajaan Azerbaijan melayan Saksi-Saksi Yehuwa dengan lebih baik dan mempertahankan hak mereka. Kita bersyukur atas sokongan ECHR yang membantu saudara saudari kita mendapat kebebasan untuk beribadat. Yang terpenting, kita bersyukur kepada Tuhan Yehuwa yang merupakan “tempat naungan dan kekuatan kita.”—Mazmur 46:1.