30 JULAI 2019
AZERBAIJAN
Konvensyen Serantau yang Bersejarah di Azerbaijan
Dari 26 hingga 28 Julai 2019, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan konvensyen serantau di Darnagul Ceremony House di Baku, ibu kota Azerbaijan. Biarpun Azerbaijan tidak mempunyai konvensyen antarabangsa, konvensyen serantau di Baku juga sangat istimewa. Ini merupakan pertemuan terbesar yang diadakan di Azerbaijan. Inilah kali pertama semua sidang bahasa Rusia dan bahasa Azerbaijan di negara itu menghadiri konvensyen serantau bersama-sama.
Bilangan penyiar di Azerbaijan ialah kira-kira 1,500 orang, tetapi bilangan tertinggi hadirin ialah sebanyak 1,938 orang, dan sebanyak 33 orang telah dibaptis. Pihak berkuasa mengizinkan Saudara Mark Sanderson untuk memasuki negara itu dan memberikan ceramah semasa konvensyen. Inilah kali pertama seorang ahli Badan Pimpinan memberikan ceramah di konvensyen di Azerbaijan. Kita sangat menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Perpaduan antara saudara saudari telah memberikan kesaksian yang baik. Pihak pentadbiran lokasi konvensyen menyatakan bahawa perpaduan, kasih, dan kebaikan hati para Saksi jelas kelihatan dan mereka benar-benar melakukan apa yang diajarkan oleh mereka.
Walaupun ibadat para Saksi masih dikenakan sekatan di Azerbaijan, pihak berkuasa telah beransur-ansur memberikan lebih banyak kebebasan kepada para Saksi. Pada November 2018, kerajaan Azerbaijan telah mengizinkan Saksi-Saksi Yehuwa untuk didaftarkan secara sah di sisi undang-undang di Baku. Oleh itu, saudara saudari kita dapat beribadat secara terbuka di kota itu.
Kita bersukacita bersama saudara saudari di Azerbaijan atas peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku baru-baru ini. Kita terus berdoa agar Yehuwa memberkati usaha saudara saudari untuk “memperoleh hak yang sah di sisi undang-undang untuk menyebarkan berita baik” di Azerbaijan dan di serata dunia.—Filipi 1:7.