Lompat ke kandungan

29 SEPTEMBER 2020
AZERBAIJAN

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Membuat Dua Keputusan yang Memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Membuat Dua Keputusan yang Memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan

Pada 24 September 2020, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat dua keputusan yang memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan. Keputusan pertama berkaitan dengan kes Valiyev and Others lwn. Azerbaijan, dan keputusan kedua berkaitan dengan kes Religious Community of Jehovah’s Witnesses lwn. Azerbaijan. Keputusan ini melindungi kebebasan beragama saudara saudari kita di sana.

Dalam kedua-dua kes, kerajaan Azerbaijan mengakui bahawa mereka telah mencabuli hak saudara saudari kita. Mereka juga bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak 19,000 euro (RM 92,500) kepada saudara saudari kita. Keputusan ECHR menunjukkan bahawa mereka telah menerima pengakuan daripada kerajaan Azerbaijan.

Saudara Valiyev mengendalikan perjumpaan di sebuah rumah

Kes Valiyev and Others lwn. Azerbaijan yang difailkan di ECHR pada tahun 2011 melibatkan saudara saudari kita di bandar Ganja. Selama bertahun-tahun, pihak berkuasa Ganja telah menghalang organisasi kita daripada didaftarkan secara sah. Akibatnya, pihak penguat kuasa sering mengganggu perjumpaan Kristian kita, menahan orang yang hadir, dan mengenakan saman yang tinggi kepada mereka. Salah seorang saudara telah disabit bersalah dan disaman berkali-kali sehingga dia perlu membayar saman berjumlah 9,450 manat Azerbaijan (RM 39,213 pada masa itu). Sebilangan saudara saudari bahkan ditahan kerana mereka tidak mampu membayar saman yang tinggi.

Pada tahun 2013, para saudara kita telah mengemukakan kes yang kedua, Religious Community of Jehovah’s Witnesses lwn. Azerbaijan, kepada ECHR kerana kerajaan Azerbaijan mengehadkan bilangan bahan bacaan yang boleh diimport.

Meskipun pihak kerajaan belum membenarkan organisasi kita didaftarkan di Ganja, situasi telah bertambah baik. Beberapa tahun ini, saudara saudari kita dapat mengadakan perjumpaan yang kecil di rumah tanpa gangguan pihak kerajaan. Selain itu, meskipun bahan bacaan kita harus diluluskan oleh kerajaan terlebih dahulu, mereka masih membenarkan para saudara kita mengimport bahan bacaan yang secukupnya.

Saudara Kiril Stepanov yang bekerja di Bahagian Maklumat Umum bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan berkata, “Kami berharap bahawa keputusan ECHR ini akan mempercepatkan proses pendaftaran organisasi kami di Ganja dan bandar-bandar lain di Azerbaijan. Kami juga berharap bahawa pihak kerajaan tidak lagi menapis bahan bacaan kami sebelum diimport.”

Kita sangat menghargai sokongan Yehuwa. Keputusan mahkamah ini membuktikan bahawa ‘semua senjata yang dihasilkan untuk melawan hamba Tuhan akan menjadi tidak berguna.’—Yesaya 54:17.