Lompat ke kandungan

Saudara Royal Karimov dan Seymur Mammadov dari Azerbaijan

4 JANUARI 2023
AZERBAIJAN

Saudara Royal Karimov dan Seymur Mammadov Dibebaskan dari Penjara di Azerbaijan

Saudara Royal Karimov dan Seymur Mammadov Dibebaskan dari Penjara di Azerbaijan

Saudara Royal Karimov dan Seymur Mammadov telah dibebaskan setelah dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Saudara Seymur telah memohon untuk melakukan khidmat awam alternatif tetapi permohonannya telah ditolak. Pada 22 September 2022, mahkamah di Azerbaijan menyatakan saudara kita bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atasnya. Keputusan itu secara terang-terang melanggar dua keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang dibuat berkenaan Azerbaijan. Peguam Seymur telah membuat rayuan bagi kesnya. Pada 12 Disember 2022, Mahkamah Rayuan Ganja telah mengubah hukumannya kepada hukuman penjara tertangguh. Walaupun Seymur tidak perlu dipenjarakan buat masa ini, dia telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung Azerbaijan untuk membatalkan keputusan yang tidak adil ini.

Semasa di penjara, Seymur tidak dibenarkan memiliki Bible atau menerima surat. Walaupun demikian, dia telah merasai sokongan Yehuwa. Dia kata, “Pada hari sebelum sesi perbicaraan yang terakhir, saya telah menulis ayat Yosua 1:5, 6 pada sekeping kertas. Ayat itu berbunyi, ‘Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku tidak sekali-kali akan mengabaikan engkau atau meninggalkan engkau.’” Kata-kata itu menguatkan Seymur apabila dia ditahan dan dibawa ke penjara. “Ayat Bible itu menjadi ayat harian bagi saya,” kata Seymur.

Pada 30 Mei 2022, Saudara Royal disuruh untuk mendaftar diri bagi khidmat tentera di State Service for Mobilization and Conscription di Wilayah Gadabay. Royal menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dan meminta untuk melakukan khidmat awam alternatif. Namun, pihak berkuasa enggan menunaikan permintaannya. Pada 25 Julai 2022, pihak tentera menangkapnya dan menahannya secara tidak sah di penjara tentera sehingga 1 November 2022. Memandangkan tindakan ini melanggar undang-undang, Royal meminta agar siasatan dibuat terhadap State Service for Mobilization and Conscription di Wilayah Gadabay.

“Apabila mereka kata saya tidak akan dibebaskan, saya sangat sakit hati dan sedih,” kata Royal. “Tetapi saya ingatkan diri bahawa cabaran ini sebenarnya menguji iman saya.”

Sepanjang masa Royal dipenjarakan, kakaknya dibenarkan untuk melawatnya dan memberinya Bible. Firman Tuhanlah yang mengukuhkan iman Royal. “Kadangkala saya rasa tawar hati. Tapi pada saat-saat itu, Yehuwa seolah-olah mengangkat saya dan memberi saya kekuatan yang saya perlukan. Saya rasa sangat tenang apabila saya membaca Bible dan berdoa kepada Yehuwa,” kata Royal.

Kita terus berdoa agar kerajaan Azerbaijan akan berhenti memenjarakan saudara kita yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Kita juga berharap pihak berkuasa akan menawarkan program khidmat awam alternatif seperti yang disediakan di negara lain.—1 Timotius 2:1, 2.