Lompat ke kandungan

8 MEI 2018
AZERBAIJAN

Mahkamah Agung Azerbaijan Menyokong Keputusan untuk Memberikan Pampasan kepada Irina Zakharchenko dan Valida Jabrayilova

Mahkamah Agung Azerbaijan Menyokong Keputusan untuk Memberikan Pampasan kepada Irina Zakharchenko dan Valida Jabrayilova

Pada 16 April 2018, Mahkamah Agung Azerbaijan menyokong keputusan mahkamah rendah yang menyatakan bahawa Saudari Irina Zakharchenko dan Saudari Valida Jabrayilova harus diberikan pampasan kerana mereka telah dipenjarakan selama 11 bulan tanpa asas. Sebelum itu, kedua-dua orang saudari itu ditahan atas tuduhan mengedarkan bahan bacaan agama tanpa kebenaran kerajaan. Tetapi pada bulan Februari 2017, Mahkamah Agung telah menyatakan bahawa tuduhan yang dilontarkan terhadap mereka tidak berasas lalu membebaskan mereka. Namun, Mahkamah Agung membiarkan mahkamah sivil untuk membuat keputusan tentang pampasan yang harus diberikan kepada mereka.

Selepas semua tuduhan terhadap mereka dibatalkan, Saudari Zakharchenko dan Saudari Jabrayilova menuntut pampasan melalui mahkamah sivil kerana mereka telah diperlakukan dengan tidak adil. Pada bulan Ogos 2017, sebuah mahkamah daerah membuat keputusan bahawa mereka patut diberikan pampasan, tetapi Kementerian Kewangan memfailkan kes rayuan atas keputusan itu. Pada bulan November 2017, mahkamah rayuan menyokong keputusan mahkamah daerah untuk memberikan pampasan kepada kedua-dua orang saudari kita. Namun sekali lagi, Kementerian Kewangan memfailkan kes rayuan dan membawa kes itu ke Mahkamah Agung pada bulan Februari 2018. Mahkamah Agung juga menolak rayuan Kementerian Kewangan dan menyokong keputusan untuk memberikan pampasan kepada kedua-dua orang saudari kita.

Selain itu, Mahkamah Agung menyatakan bahawa Saudari Zakharchenko dan Saudari Jabrayilova tidak bersalah. Mereka telah dilayan dengan tidak adil oleh pihak berkuasa yang telah melampaui batas kuasa dan mencabuli hak mereka.