7 OKTOBER 2022
BELANDA
Suka Duka Saksi-Saksi Yehuwa di Belanda selama 100 Tahun
Tahun 2022 ialah ulang tahun ke-100 penubuhan pejabat cawangan Amsterdam, ibu negara Belanda. Sejarah organisasi kita sepanjang masa itu membuktikan bahawa saudara saudari telah menunjukkan iman dan keberanian yang teguh.
Berita baik disebarkan di Belanda sejurus selepas 1900. Ketika itu, seorang pemuda yang bernama Heinrich Brinkhoff, mula membaca bahan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Watch Tower dan Persatuan Pelajar Bible Antarabangsa. Tidak lama kemudian, dia mula mengongsi apa yang dipelajarinya dengan orang lain. Benih kebenaran yang disemai itu mula bertumbuh. Pada 1920, Saudara Joseph F. Rutherford mengunjungi Eropah dan menubuhkan sebuah pejabat cawangan di Switzerland. Cawangan itu juga menyelia kerja di Belanda. Pada 1921, Saudara Rutherford menugaskan Saudara Adriaan Block untuk menyelia kerja di Belanda. Pada 1922, pejabat cawangan ditubuhkan di Amsterdam.
Dengan adanya pejabat cawangan ini, kerja menginjil dapat diaturkan dengan lebih baik. Jumlah penyembah Yehuwa semakin meningkat. Tidak lama sebelum Perang Dunia Kedua, terdapat sekitar 500 penyiar di negara itu.
Semasa perang bermula, Belanda berada di bawah kuasa Nazi. Saksi-Saksi Yehuwa serta kumpulan lain menjadi sasaran penganiayaan. Semasa jajahan Nazi, kira-kira 300 Saksi di Belanda dibuang negeri, kebanyakannya dihantar ke kem konsentrasi. Sekitar 130 saudara saudari kita meninggal akibat penyakit dan diperlakukan dengan kejam. Meskipun dianiaya, jumlah Saksi di Belanda semakin meningkat. Pada tahun 1945, ketika perang berakhir, jumlah Saksi mencapai 3,125 orang.
Walaupun perang sudah berakhir, tentangan masih berterusan. Gereja Katolik giat menentang Saksi, terutamanya di bahagian selatan Belanda. Contohnya, ada satu kejadian yang tidak dapat dilupakan pada 1952. Ketika itu, Gereja Katolik cuba hentikan satu perhimpunan di Venlo. Mereka menghasut penyewa untuk batalkan kontrak yang telah dibuat dengan Saksi. Namun begitu, para saudara tidak mengalah. Mereka mendirikan khemah di kawasan terbuka untuk adakan perhimpunan itu.
Para penentang masih berusaha untuk menghentikan perhimpunan itu. Semasa perhimpunan berlangsung, lebih daripada 1,000 orang datang untuk hentikannya. Pegawai-pegawai polis bahkan menyerbu kawasan perhimpunan dan menangkap beberapa saudara semasa program sesi petang Ahad berlangsung.
Semua usaha para penentang gagal. Dengan mengikut arahan daripada pejabat cawangan, para saudara terlantik berjaya meneruskan program itu.
Yehuwa terus memberkati tekad para saudara yang tidak mengalah. Pada 1983, pejabat cawangan Belanda berpindah ke kemudahan baharu di Emmen. Pada 2022, jumlah Saksi-Saksi Yehuwa di Belanda ialah hampir 30,000 orang.
Sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Belanda membuktikan bahawa Yehuwa ‘tidak sekali-kali akan mengabaikan atau meninggalkan’ umat-Nya.—Ulangan 31:6.