19 FEBRUARI 2024
BOTSWANA
Para Saksi di Botswana Menikmati Kebebasan untuk Beribadat selama 50 Tahun
Tanggal 20 Februari 2024 merupakan ulang tahun ke-50 sejak Saksi-Saksi Yehuwa didaftarkan secara sah di Botswana. Sebelum tahun 1974, saudara saudari di Botswana telah menghadapi pelbagai sekatan dan bahkan dilarang melakukan kegiatan rohani buat suatu tempoh masa.
Kebenaran Bible tiba di Botswana (pada masa itu dikenali sebagai Bechuanaland) pada 1929. Namun, disebabkan kerisauan dan kemarahan orang awam akibat Perang Dunia Kedua, pihak kerajaan telah menyekat kegiatan para Saksi serta pengedaran bahan bacaan kita pada 1941. Kemudian pada 1959, sekatan ini telah ditarik balik dan para Saksi dapat menjalankan kegiatan rohani semula.
Pada 1972, satu undang-undang baharu telah dikuatkuasakan dan kerajaan menghendaki semua organisasi di Botswana untuk didaftarkan. Maka, para saudara berusaha memenuhi tuntutan itu. Namun, permohonan mereka telah ditolak. Bukan itu saja, para Saksi diberi 20 hari untuk menghentikan semua kegiatan agama di negara itu. Sesiapa yang terlibat dalam kerja penyebaran atau perjumpaan sidang boleh dipenjarakan untuk tempoh maksimum tujuh tahun. Meskipun kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan, saudara saudari tetap berkumpul secara rahsia. Ada kalanya, perjumpaan diadakan di tempat yang sunyi dan terpencil, misalnya dalam hutan. Mengingat kembali pengalamannya, Saudara Tommy Maruping kata, “Larangan itu tidak mematahkan semangat kami. Sebaliknya, kami lebih bertekad untuk terus menginjil dan berkumpul bersama. Kami percaya Yehuwa ada bersama kami, dan ternyata Dia tidak pernah meninggalkan kami.”
Pada 20 Februari 1974, pihak kerajaan telah mengubah keputusan mereka dan mengizinkan organisasi kita untuk didaftarkan secara sah. Hari ini, kira-kira 2,400 penyiar berkhidmat di 42 sidang di Botswana. Perjumpaan sidang diadakan dalam Bahasa Isyarat Botswana, bahasa Inggeris, Kalanga (Botswana), Setswana, dan Shona. Saudara Hugh Cormican ialah seorang mubaligh yang berkhidmat di Botswana tidak lama selepas larangan itu dibatalkan. Dia menjelaskan, “Saudara saudari tetap kuat secara rohani sehingga hari ini. Oleh sebab kita dapat beribadat bersama dan mengadakan perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen, kita merasai perpaduan sejati yang dinikmati umat Yehuwa.”
Ketabahan para Saksi di Botswana membuktikan bahawa Yehuwa sentiasa memberkati kesetiaan dan kepatuhan umat-Nya.—1 Yohanes 5:3.