22 JUN 2022
BRAZIL
Badan Berkanun Saksi di Brazil Diiktiraf 75 Tahun yang Lalu
“Iman, Semangat, dan Keyakinan Kami terhadap Yehuwa Tidak Pernah Goyah”
Pada 23 Jun 1947, Saksi-Saksi Yehuwa mendaftarkan Sociedade Torre de Vigia de Bíblias e Tratados (Pertubuhan Bible dan Risalah Watch Tower) di Brazil. Inilah badan berkanun utama yang digunakan oleh para Saksi di Brazil selama 75 tahun yang lalu. Untuk mendapat pengiktirafan ini, saudara-saudara kita menghadapi tentangan selama bertahun-tahun.
Pada 13 Oktober 1945, para penyiar di Brazil mengedarkan petisyen dan meminta sokongan orang ramai agar Saksi-Saksi Yehuwa mendapat pengiktirafan di Brazil. Pada masa itu, terdapat sekitar 400 orang penyiar di Brazil, dan mereka berjaya mendapat 44,411 tandatangan. Mereka menghantar petisyen itu kepada presiden tetapi tidak dilayan.
Pada tahun 1946, Brazil meluluskan perlembagaan baharu. Perlembagaan baharu ini mengandungi undang-undang yang membolehkan pendaftaran Pertubuhan Bible dan Risalah Watch Tower di Brazil. Pada tahun itu, purata penyiar yang menginjil setiap bulan ialah 442 orang.
Pihak gereja tidak suka dengan pengiktirafan ini. Tiga tahun kemudian, pada 3 November 1949, mereka berjaya mendesak presiden Brazil agar menandatangani perintah untuk menggantungkan dan menutup Pertubuhan Watch Tower. Saudara-saudara kita mengemukakan kes itu di mahkamah. Akhirnya, pada 8 April 1957, presiden Brazil yang baharu membuat keputusan yang berpihak kepada kita.
Sementara kes itu diadili di mahkamah, Yehuwa terus memberkati kerja penyebaran di Brazil. Saudara Djalma Mendes Souto, yang dibaptis pada tahun 1941 dan merupakan salah seorang ahli Pertubuhan Watch Tower di Brazil pada masa itu, berkata, “Iman, semangat, dan keyakinan kami terhadap Yehuwa tidak pernah goyah. Oleh itu, bilangan penyiar terus bertambah. Pada tahun 1947, kami sangat gembira semasa bilangan penyiar mencecah 1,000 orang buat kali pertama.”
Sejak itu, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di Brazil meningkat secara mendadak. Pada tahun 2021, jumlah penyiar tertinggi di Brazil ialah 913,479 orang, dan 2,184,856 orang telah menghadiri Peringatan Kematian Kristus. Program konvensyen tahun 2021 “Iman Menguatkan Kita!” telah diterjemahkan ke dalam 15 bahasa, termasuk 10 bahasa peribumi.
Kita digalakkan semasa melihat Yehuwa terus memberkati kerja saudara saudari di Brazil. Ketabahan saudara saudari kita semasa menghadapi tentangan membuktikan bahawa Yehuwa menyelamatkan orang yang berharap pada-Nya.—Yesaya 25:9.