Lompat ke kandungan

25 JUN 2020
BRAZIL

Bantuan Dihulurkan kepada Saudara Saudari di Amazon

Bantuan Dihulurkan kepada Saudara Saudari di Amazon

Jawatankuasa Cawangan Brazil telah menubuhkan 18 buah Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) untuk membantu para penyiar yang mengalami masalah ekonomi akibat wabak COVID-19. Kini, DRC menghulurkan bantuan kepada kira-kira 12,000 buah sidang di seluruh Brazil, termasuk rakan seiman yang tinggal di kawasan yang terpencil di Sungai Amazon. Setakat ini, bantuan telah disalurkan kepada 131 buah keluarga di kawasan Amazon.

Di Manaus, iaitu kota terbesar di kawasan Amazon, DRC telah menyediakan bungkusan yang mengandungi barang keperluan yang cukup untuk sebulan. Bekalan itu merangkumi barang seperti beras, tepung ubi, tepung susu, kekacang, sabun, berus gigi, ubat gigi, dan kertas tisu. Para saudara telah menghantar bungkusan-bungkusan itu ke Manacapuru, dan kemudiannya bot digunakan untuk membawa bungkusan ke kawasan yang terpencil, termasuk Membeca dan Lago do Castanho.

Saudari Marinelma ialah seorang penyiar di kawasan Lago do Castanho. Setelah menerima bekalan keperluan itu, dia berkata, “Pertama sekali, saya berterima kasih kepada Yehuwa kerana menjaga kami. Keadaan kami sangat susah kerana kami tidak dapat beli makanan. Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada saudara saudari. Mereka menunjukkan kasih dan kemurahan hati dengan menyediakan bekalan ini untuk kami. Semasa saya beritahu anak saya yang berumur enam tahun bahawa Yehuwa menggunakan saudara saudari untuk membantu kami, anak saya kata, ‘Mama, boleh kita cakap terima kasih kepada Yehuwa?’”

Saudara Jonas Monteiro, yang tinggal di Caapiranga, telah mengirim sepucuk surat kepada DRC. Surat itu berbunyi, “Terima kasih atas semua bantuan anda. Kami merasai kasih Yehuwa melalui anda semua. Kami berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada persaudaraan sedunia ini.”

Para saudara yang berkhidmat dalam DRC juga telah meraih berkat yang besar. Seorang penatua yang bernama Isaac Emannuel Ramalho de Oliveira berkata, “Setiap hari, iman saya dikuatkan semasa bekerja bersama Jawatankuasa Bantuan Bencana. Berkat yang saya peroleh jauh lebih besar daripada apa yang dapat saya berikan kepada saudara saudari.”

Sememangnya, iman kita diteguhkan semasa melihat Yehuwa menjaga umat-Nya di seluas dunia.—Mazmur 94:14.