Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan di Rio de Janeiro pada 1923 dan pejabat cawangan sekarang di Cesário Lange

7 MAC 2023
BRAZIL

Bethel Brazil Menyokong Kerja Saksi-Saksi Yehuwa selama 100 Tahun

Bethel Brazil Menyokong Kerja Saksi-Saksi Yehuwa selama 100 Tahun

Sejak 100 tahun yang lalu, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa telah ditubuhkan di Brazil. Sepanjang masa ini, kerja penyebaran di Brazil terus membuahkan hasil yang baik. Sesungguhnya, ini membuktikan bahawa Yehuwa sedang memberkati usaha umat-Nya.

Kerja menginjil di Brazil telah bermula pada hujung 1890-an. Pada masa itu, terbitan majalah Zion’s Watch Tower and Herald of Christ’s Presence telah diedarkan buat kali pertama di negara itu. Semakin hari semakin ramai orang menunjukkan minat terhadap majalah itu. Jadi pada Mac 1923, Saudara J. F. Rutherford menghantar Saudara George Young ke sana untuk menubuhkan pejabat cawangan dan mengaturkan kerja menginjil.

Saudara Young menyewa sebuah pejabat kecil di bandar Rio de Janeiro. Pejabat itu merupakan cawangan yang pertama di Brazil, dan juga di seluruh Amerika Selatan. Dia juga mengaturkan agar bahan bacaan diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Portugis, dan dicetak oleh syarikat percetakan tempatan.

Pada 1925, Saudara Young menyambung khidmatnya sebagai mubaligh di Argentina, dan Saudara John Rainbow telah dilantik sebagai penyelia cawangan Brazil. Pada 1926, Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Brooklyn, New York, A.S., telah menghantar sebuah mesin cetak ke Brazil. Dengan adanya peralatan ini, para saudara dapat mencetak majalah dan buku-buku kecil.

Mulai tahun 1945, para mubaligh dari Sekolah Latihan Gilead telah ditugaskan ke Brazil. Usaha mereka dalam kerja penyebaran telah diberkati Yehuwa. Dari 1948 hingga 1968, jumlah penyiar telah meningkat daripada 1,000 kepada 50,000. Dalam tiga tahun yang lalu, secara purata, jumlah orang yang dibaptis setiap tahun adalah lebih daripada 21,000 orang. Hari ini, terdapat kira-kira 900,000 penyiar yang menyebarkan berita baik di Brazil. Disebabkan perkembangan ini, kemudahan Bethel yang lebih besar diperlukan. Pada 1980, pejabat cawangan telah berpindah ke Cesário Lange, yang terletak sekitar 150 kilometer dari São Paulo. Sejak masa itu, bangunan Bethel di Cesário Lange telah diubah suai sebanyak tiga kali. Hari ini, lebih daripada 1,200 saudara dan saudari berkhidmat di sana.

Alangkah gembiranya kita kerana melihat berkat Yehuwa atas kerja penyebaran yang dilakukan di Brazil sepanjang 100 tahun ini.—1 Korintus 3:7.