Lompat ke kandungan

29 OKTOBER 2019
BRAZIL

Gerai JW.ORG di Pameran Rio Book Biennial di Brazil Menyediakan Bahan untuk Golongan Pekak dan Buta

Gerai JW.ORG di Pameran Rio Book Biennial di Brazil Menyediakan Bahan untuk Golongan Pekak dan Buta

Saksi-Saksi Yehuwa menyertai pameran International Book Biennial of Rio de Janeiro ke-19, yang diadakan di Riocentro Convention and Event Center dari 30 Ogos hingga 8 September 2019. Acara ini merupakan pesta budaya yang paling besar di Brazil, sebanyak 520 gerai didirikan dan dikunjungi oleh kira-kira 600,000 orang. Gerai jw.org di pameran ini menonjolkan laman web kita dan usaha kita untuk menghasilkan bahan-bahan yang berdasarkan Bible. Dalam sepuluh hari pameran itu diadakan, 258 orang saudara dan saudari bertugas dengan rela di gerai kita, dan mereka telah mengedarkan 3,737 bahan terbitan.

Di gerai jw.org terdapat bahagian khas untuk pengunjung yang pekak, menghidapi masalah pendengaran, atau buta. Para saudara menunjukkan video dalam Bahasa Isyarat Brazil (LIBRAS), dan para penyiar yang fasih berbahasa LIBRAS bersedia untuk membantu para pengunjung. Salah seorang sukarelawan menjelaskan, “Apabila orang datang ke gerai kami, mereka rasa selesa bercakap dengan kami dan tidak rasa malu. Kami sentiasa bersedia untuk menjelaskan cara menggunakan jw.org dan cara pembelajaran Bible diadakan.”

Seorang penyiar buta yang berumur sepuluh tahun sedang menjelaskan kepada seorang wartawan tempatan tentang manfaat yang diperolehnya daripada bahan bacaan yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dalam bahasa Braille

Seorang guru melawat gerai kita dengan tujuh orang murid yang pekak. Dia kagum dengan bahan-bahan bahasa isyarat yang disediakan untuk para remaja di jw.org. Dia menjelaskan bahawa ibu bapa sering meminta bantuannya untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka yang pekak, terutamanya tentang perkara yang sensitif. Guru ini berkata bahawa dia akan memberitahu para ibu bapa tentang laman web kita.

Seorang saudari menunjukkan bahan bacaan yang berdasarkan Bible kepada seorang pengunjung

Gerai jw.org juga menyediakan paparan interaktif dalam beberapa bahasa etnik seperti Guarani, Ticuna, dan Xavante, yang kini terdapat di jw.org. Ricardo Carneiro, seorang jurucakap tempatan bagi Saksi-Saksi Yehuwa, berkata, “Kami berminat untuk membantu penduduk asli mempelajari Bible dalam bahasa mereka sendiri.”

Pameran International Book Biennial di Rio bertujuan untuk memupuk minat membaca di kalangan orang Brazil supaya kehidupan mereka lebih bermakna. Ribuan pengunjung di gerai jw.org berpeluang untuk membaca Bible dan bahan-bahan lain dalam bahasa mereka sendiri, dan hal ini telah membantu ramai orang menikmati kehidupan yang lebih baik sejak dahulu lagi.—2 Timotius 3:16, 17.