10 DISEMBER 2019
BRAZIL
Kempen Istimewa di Kawasan Terpencil di Brazil
Ribuan Saksi-Saksi Yehuwa berusaha mengongsi mesej Bible kepada orang yang tinggal di kawasan terpencil di Brazil. Kempen istimewa ini bermula pada 1 September 2018 dan akan terus berlangsung sehingga 31 Disember 2019. Kini, lebih daripada 80,000 orang penyiar menyertai kempen ini dan sebanyak 16,000 pembelajaran Bible telah dimulakan.
Brazil merupakan negara kelima terbesar di dunia. Menurut anggaran, kira-kira 28 juta orang yang tinggal di kawasan terpencil tersebut, manakala 22 juta orang lagi tinggal di kawasan perkampungan. Kempen istimewa ini telah dijalankan di lebih daripada 1,600 kawasan. Sesetengah penyiar perlu membuat perjalanan sejauh 2,000 kilometer untuk mencari orang yang berminat.
Pernah sekali, seorang penyiar tiba di sebuah rumah seorang lelaki tua. Lelaki itu sedang memproses biji kopi yang sudah dituai. Dia menjemput penyiar itu masuk ke dalam rumahnya dan memanggil isterinya lalu berkata, “Dia datang untuk bercakap tentang Bible dengan kita. Jom, kita dengar!”
Pasangan ini mula menanya soalan-soalan. Mereka tanya tentang keadaan orang mati, mengapa Tuhan mengizinkan penderitaan, adakah kita wajib membayar persepuluhan, cara menangani masalah keluarga, dan lain-lain. Mereka berasa kagum dengan jawapan penyiar yang berdasarkan Bible. Lelaki itu memberitahu bahawa pagi tadi dia berdoa dan menanya Tuhan sama ada dia akan mendapat jawapan kepada soalan-soalannya atau tidak. Pada sebelah malam, dia dan keluarga menghadiri perjumpaan untuk kali pertama, dan mereka juga telah meneruskan pembelajaran Bible.
Di kawasan lain pula, para penyiar yang menginjil dari rumah ke rumah terpaksa berteduh di sebuah klinik kesihatan awam kerana hujan turun dengan sangat lebat. Semasa berada di sana, salah satu penyiar menanya seorang wanita dan anak perempuannya tentang soalan yang ingin ditanya mereka kepada Tuhan. Anak perempuan itu berkata bahawa dia ingin berjumpa semula dengan neneknya. Jadi para penyiar mengongsi ayat Bible mengenai pembangkitan dan video yang bertajuk Pembangkitan—Tidak Lama Lagi.
Selepas itu, semasa penyiar pergi ke rumah wanita itu untuk mengunjunginya, mereka dapat memulakan pembelajaran Bible dengan wanita itu dan keluarganya. Wanita itu dan anak perempuannya menghadiri perjumpaan di bandar berdekatan dan meneruskan pembelajaran menerusi telefon.
Bible menubuatkan bahawa rakyat Kerajaan Tuhan akan “sampai ke hujung bumi.” Kata-kata ini menunjukkan bahawa kehendak Yehuwa menjadi kenyataan menerusi kempen istimewa di kawasan terpencil di Brazil.—Mazmur 72:8.