5 OKTOBER 2022
BRAZIL
Memperkenalkan Ciri-Ciri Kemudahan JW.ORG semasa Pameran di Brazil
Pada 1 hingga 4 September 2022, Saksi-Saksi Yehuwa dijemput untuk turut serta dalam International Trade Fair on Rehabilitation, Inclusion and Accessibility Technologies (Reatech) yang diadakan di São Paulo, Brazil. Reatech adalah pameran terbesar di Amerika Latin yang menampilkan pelbagai teknologi bagi orang kelainan upaya. Lebih daripada 46,000 orang menghadiri acara tahun ini.
Di pameran itu, saudara saudari memasang gerai yang menampilkan jw.org serta aplikasi JW Library dan JW Library Bahasa Isyarat. Di gerai jw.org, ada beberapa paparan elektronik interaktif. Para penyiar yang buta dan terhad penglihatan juga berada di situ untuk menunjukkan cara menggunakan pelbagai ciri laman web dan aplikasi kita.
Seorang pakar yang bantu orang kelainan upaya telah mengunjungi gerai jw.org. Dia memberi komen berikut: “Saya sangat kagum kerana ada kumpulan agama yang begitu ambil berat dan sudi membantu orang yang mempunyai keperluan khas.” Seorang lagi pengunjung kata, “Kamu benar-benar peduli tentang orang kelainan upaya!”
Beberapa wakil dari National Organization of the Blind di Brazil (ONCB) juga menghadiri Reatech 2022. Semasa pameran itu, mereka mengadakan siaran radio. Pada hari pertama dan terakhir pameran, saudara saudari yang menjaga gerai jw.org ditemu bual. Mereka menjelaskan bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa membantu orang yang buta, terhad penglihatan, atau pekak, bukan sahaja di Brazil malahan di seluruh dunia. Dalam salah satu temu bual, seorang wakil ONCB mengatakan bahawa jw.org mengandungi bahan-bahan bahasa isyarat yang merupakan antara yang terbaik yang pernah dia lihat.
Dari zaman dahulu hingga sekarang, Yehuwa sentiasa tunjuk kasih kepada mereka yang terbatas secara fizikal. (Imamat 19:14) Kita yakin bahawa Yehuwa gembira melihat para Saksi-Nya menunjukkan kasih yang dimiliki-Nya. Kita menantikan saatnya apabila “mata orang yang buta akan dapat melihat, dan telinga orang yang tuli akan dapat mendengar.”—Yesaya 35:5.