Lompat ke kandungan

Mahkamah Agung Bulgaria yang terletak di Sofia

20 MEI 2019
BULGARIA

Mahkamah Agung Melindungi Kebebasan Beragama Saksi-Saksi Yehuwa di Bulgaria

Mahkamah Agung Melindungi Kebebasan Beragama Saksi-Saksi Yehuwa di Bulgaria

Pada bulan Mac 2019, Mahkamah Agung Bulgaria telah membuat tiga keputusan yang menyokong kes saudara saudari kita di Bulgaria. Semua kemenangan yang diraih menjadi dasar undang-undang agar saudara saudari di negara itu dapat beribadat dengan bebas.

Dua daripada kes itu melibatkan fitnah daripada pihak media. Pada tahun 2012, surat khabar Vseki Den menerbitkan sebuah rencana yang berisi fitnah tentang kepercayaan kita. Begitu juga, pada tahun 2014, stesen TV SKAT menyiarkan laporan palsu tentang organisasi kita. Dalam kedua-dua peristiwa itu, pihak media yang terlibat enggan menarik balik berita yang berisi fitnah itu. Selepas banyak perbicaraan dan rayuan di mahkamah-mahkamah, kes-kes itu akhirnya dibawa ke Mahkamah Agung Bulgaria. Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Agung Bulgaria membuat keputusan yang menyatakan bahawa stesen TV SKAT bersalah. Pada 26 Mac, Mahkamah itu menggunakan keputusan tersebut sebagai dasar untuk menyatakan bahawa surat khabar Vseki Den bersalah kerana menggunakan bahasa yang menyemarakkan kebencian.

Kes yang ketiga melibatkan serangan yang dibuat oleh sebuah organisasi politik di Bulgaria ke atas saudara saudari kita. Pada 17 April 2011, semasa saudara saudari kita berkumpul untuk menyambut Peringatan kematian Yesus, tiba-tiba 60 orang datang lalu menyerang dan mencederakan saudara saudari kita. Saudara saudari kita membawa kes itu ke mahkamah. Akhirnya, kes itu sampai ke Mahkamah Agung. Pada 20 Mac 2019, Mahkamah Agung menyatakan bahawa Georgi Drakaliev, iaitu ketua organisasi politik itu, bersalah dan harus membayar ganti rugi kepada saudara saudari kita.

Kita bersukacita atas tiga kemenangan tersebut. Sekarang keputusan ini dapat menjadi dasar undang-undang agar saudara saudari kita dapat ‘terus menjalani kehidupan yang tenang dan tenteram, dan mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya.’—1 Timotius 2:2.