10 OKTOBER 2022
CAMEROON
Pengeluaran Seluruh Terjemahan Dunia Baharu dalam Bahasa Bassa (Cameroon)
Pada 1 Oktober 2022, Saudara Stephen Attoh, ahli Jawatankuasa Cawangan Cameroon, mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu bahasa Bassa (Cameroon) dalam bentuk digital. Pengeluaran ini disiarkan dalam program yang telah dirakam terlebih dahulu. Cetakan Bible dijadualkan tersedia pada April 2023. Seluruh Bible ini ialah terjemahan pertama ke bahasa tempatan Cameroon oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Pada 2019, para Saksi di Cameroon mengeluarkan Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Bassa (Cameroon).
Sebelum pengeluaran seluruh Bible ini, sudah ada terjemahan Bible lengkap yang lain dalam bahasa Bassa (Cameroon). Namun, terjemahan-terjemahan itu susah didapati, harganya mahal, dan bahasanya sudah kuno. Seorang penterjemah kata, “Selepas pengeluaran ini, orang yang berminat boleh memiliki Bible sendiri. Oleh sebab terjemahan ini menggunakan bahasa yang mudah dan moden, Bible ini senang difahami.”
Kita gembira melihat saudara saudari yang menutur bahasa Bassa (Cameroon) kini memiliki seluruh Terjemahan Dunia Baharu untuk pembelajaran peribadi dan kerja penyebaran semasa mencari orang yang layak.—Matius 10:11.