Lompat ke kandungan

5 OGOS 2019
CAMEROON

Saksi-Saksi Yehuwa di Cameroon Mengeluarkan Kitab Yunani Kristian dalam Bahasa Bassa

Saksi-Saksi Yehuwa di Cameroon Mengeluarkan Kitab Yunani Kristian dalam Bahasa Bassa

Pada 2 Ogos 2019, semasa konvensyen serantau di Duala, Cameroon, Saksi-Saksi Yehuwa mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Bassa. Terjemahan Bible ini mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan. Inilah kali pertama Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan Bible ke dalam salah satu bahasa tempatan di Cameroon.

Saudara Peter Canning, salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Cameroon, mengumumkan pengeluaran Bible tersebut pada hari pertama konvensyen serantau di Dewan Perhimpunan Logbessou, yang mempunyai sebanyak 2,015 orang hadirin.

Sebelum Kitab Yunani dikeluarkan, saudara saudari yang bertutur dalam bahasa Bassa perlu menggunakan Bible yang sangat susah difahami dan mahal. Salah seorang penterjemah yang terlibat dalam projek Bible bahasa Bassa menjelaskan: “Terjemahan baharu ini akan membantu para penyiar lebih memahami Bible. Kasih mereka terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya akan semakin bertambah.”

Sekitar 300,000 orang menuturkan bahasa Bassa di Cameroon. Di kawasan pejabat cawangan Cameroon, sebanyak 1,909 penyiar yang menggunakan bahasa tersebut.

Kami yakin bahawa terjemahan yang tepat dan yang mudah difahami ini akan membantu para pembaca melihat bahawa “Firman Tuhan itu hidup.”—Ibrani 4:12.