29 OGOS 2023
COLOMBIA
Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Bahasa Wayuunaiki
Pada 18 Ogos 2023, Saudara Giacomo Maffei, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Colombia, mengeluarkan Bible Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Wayuunaiki. Pengumuman ini dibuat semasa Konvensyen Serantau “Teruslah Bersabar!” di Maicao, La Guajira, Colombia. Seramai 265 orang telah menghadiri program ini. Edisi digital dapat dimuat turun dan edisi cetakan akan tersedia di sidang-sidang pada awal tahun 2024.
Terdapat lebih daripada 700,000 penutur bahasa Wayuunaiki dan mereka dikenali sebagai orang Wayuu. Kebanyakan daripada mereka tinggal di kawasan La Guajira di Colombia dan negeri Zulia di Venezuela. Sejak 1998, Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa Wayuunaiki. Pejabat penterjemahan bahasa Wayuunaiki terletak di Riohacha, La Guajira. Kira-kira 445 penyiar berkhidmat di 17 sidang dan 4 kumpulan bahasa Wayuunaiki di Colombia dan Venezuela.
Saudara saudari sangat menghargai pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu ini. Seorang saudara berkata, “Sekarang, kami ada terjemahan Bible yang tepat dalam bahasa Wayuunaiki! Ini pemberian yang sungguh istimewa daripada Bapa kita, Yehuwa.” Seorang saudara yang lain berkata, “Saya pasti terjemahan ini akan bantu para pembaca memupuk hubungan yang lebih akrab dengan Yehuwa.”
Kita yakin bahawa rakan seiman kita yang menuturkan bahasa Wayuunaiki amat bersukacita dengan pengeluaran Bible ini dan lebih ramai orang akan meraih manfaat rohani daripadanya.—Matius 5:3.