30 MEI 2023
COLOMBIA
Pemindahan Pejabat Penterjemahan Bahasa Wayuunaiki di Colombia
Pada 18 Mac 2023, acara pentahbisan bagi pejabat penterjemahan (RTO) bahasa Wayuunaiki telah diadakan di Riohacha, Colombia. Bahasa Wayuunaiki merupakan bahasa peribumi yang paling banyak digunakan di Colombia dan Venezuela. Terdapat kira-kira 700,000 orang yang menuturkan bahasa ini.
Sebelum ini, kumpulan penterjemahan menggunakan dua buah rumah yang disewa sebagai RTO. Tetapi tempatnya agak kecil dan bekalan elektrik, rangkaian telefon, dan Internet di sana tidak stabil. Maka, pejabat cawangan Colombia telah membeli dan mengubah suai bangunan untuk digunakan sebagai RTO baharu. RTO itu terletak di kawasan perumahan dan juga mempunyai enam unit apartmen untuk digunakan sebagai kediaman bagi para penterjemah. Projek ini telah diluluskan pada Oktober 2022 dan disiapkan pada Januari 2023.
Saudara Juan Felipe Rodríguez, seorang ahli Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan, menjelaskan manfaat lokasi baharu ini. Dia berkata, “Pejabat penterjemahan baharu ini mempunyai tempat yang cukup luas bagi para penterjemah untuk bekerja bersama. Selain itu, terdapat perlengkapan khas untuk buat kerja rakaman audio, rangkaian Internet yang lebih baik, dan bekalan kuasa tambahan apabila terdapat gangguan elektrik.”
Sejak 1998, bahan bacaan Bible telah diterjemahkan ke dalam bahasa Wayuunaiki. Hari ini, terdapat 14 saudara saudari yang membantu dalam kerja ini, dan sekitar 400 penyiar berkhidmat di 20 sidang bahasa Wayuunaiki.
Kita amat bersukacita melihat bagaimana organisasi Yehuwa terus membantu orang daripada pelbagai bangsa dan bahasa untuk menghampiri-Nya.—Yakobus 4:8.