24 JANUARI 2024
CÔTE D’IVOIRE
Bible—Berita Baik Menurut Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Yacouba
Pada 7 Januari 2024, Saudara Jules Bazié, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Côte d’Ivoire telah mengeluarkan Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Yacouba. Pengeluaran itu dibuat semasa sebuah program istimewa yang diadakan di Man, Côte d’Ivoire. Sejumlah 302 orang menghadiri program itu secara bersemuka dan 257 orang lagi menontonnya menerusi persidangan video. Edisi digital dan audio telah disediakan dan dapat dimuat turun dengan serta-merta. Edisi cetakan pula akan disediakan pada masa yang akan datang.
Kira-kira 1.5 juta penutur bahasa Yacouba tinggal di Côte d’Ivoire, Guinea, dan Liberia. Kini, kira-kira 254 saudara saudari berkhidmat di empat sidang dan enam kumpulan bahasa Yacouba di Côte d’Ivoire.
Terdapat dua terjemahan sekular bagi Kitab Yunani Kristian tetapi tiada terjemahan bagi seluruh Bible dalam bahasa Yacouba. Kedua-dua Kitab Yunani Kristian itu tidak mengandungi nama peribadi Tuhan, iaitu Yehuwa. Tambahan lagi, bahasa yang digunakan juga susah difahami. Maka, pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius amat bermanfaat bagi orang ramai. Seorang saudara berkata, “Semasa menggunakan terjemahan yang lain, kami perlu baca ayat-ayat Bible dengan sangat perlahan atau beberapa kali untuk memahaminya. Sekarang, kami dapat menikmati pembacaan kami dan betul-betul memahami kandungan buku Matius!”
Kita bersyukur kepada Yehuwa atas hadiah istimewa ini. Saudara saudari kita yang berbahasa Yacouba dan orang lain yang “mengutamakan Kerajaan Tuhan” pasti meraih banyak manfaat daripada pengeluaran baharu ini.—Matius 6:33.