29 MAC 2022
CYPRUS
1922-2022: Mengekalkan Warisan Kristian selama 100 Tahun di Cyprus
Tahun ini ialah tahun ke-100 sejak Saksi-Saksi Yehuwa mula menginjil di pulau Cyprus di Mediterranean. Rasul Paulus bersama dengan Barnabas (lahir di Siprus) telah melawat pulau itu semasa perjalanan penginjilan pertamanya. Pada zaman moden, benih kebenaran Bible yang pertama telah disemai pada 1922 semasa seorang pemimpin gereja terima buku kecil Does the Soul Die? (Adakah Jiwa Dapat Mati?).
Dua tahun kemudian, Cyrus Charalambous, seorang Pelajar Bible yang tinggal di Amerika Syarikat telah pulang ke Cyprus. Dia mula menginjil dengan bersemangat dan kirim risalah Where Are the Dead? (Di Manakah Orang Mati?) ke setiap bandar dan kampung di Cyprus.
Antonis Spetsiotes terima risalah itu. Antonis sedar apa yang dibacanya adalah kebenaran lalu bincang dengan jirannya, Andreas Christou. Selepas itu, mereka mula kongsi dengan orang lain apa yang dipelajari.
Gereja Ortodoks Yunani menentang usaha mereka. Maka, Antonis dan Andreas disingkirkan dari gereja. Tapi, mereka tidak berhenti menginjil. Pada 1930-an, usaha mereka membuahkan hasil semasa sidang pertama ditubuhkan di kampung Xylophagou, Cyprus.
Saudara saudari terima lebih banyak bantuan dalam kerja menginjil apabila Antonios Karandinos (mubaligh lulusan Gilead yang pertama di Cyprus) tiba pada 1947. Pada 1948, 50 penyiar menginjil di pulau itu, dan pejabat cawangan yang pertama didirikan. Para saudara tubuhkan satu entiti perundangan pada 1960. Dua tahun kemudian, Dewan Perjumpaan yang pertama dibina di Nicosia. Jumlah Saksi terus meningkat dan kemudahan Bethel baharu yang lebih besar telah ditahbiskan pada 1969.
Semakin besar peningkatan jumlah penyiar, semakin banyak tentangan. Sekitar 1965, saudara muda yang menolak khidmat tentera dipenjarakan. Pihak tentera mendera sesetengah daripada mereka untuk paksa mereka sertai khidmat tentera.
Saudara saudari hadapi lebih banyak cabaran pada 1974 semasa perang tercetus di pulau itu. Kira-kira 300 saudara saudari menjadi pelarian. Keluarga Bethel terpaksa berpindah dari bangunan cawangan. Saudara saudari dari negara lain bantu saudara saudari di Cyprus dengan menghantar bekalan bantuan bencana. Sesetengah saudara saudari juga telah dapat beri tempat tinggal kepada rakan seiman yang terpaksa melarikan diri.
Bagi tahun-tahun selepas itu, mereka giat menginjil. Tambahan pula, pada 2006, Konvensyen Distrik “Pembebasan Sudah Dekat!” diadakan di Limassol. Ini merupakan acara yang sangat bersejarah kerana semua Saksi-Saksi Yehuwa di Cyprus dapat berkumpul untuk suatu acara buat kali pertama selepas bertahun-tahun berlalu.
Kini, terdapat 2,866 penyiar di Cyprus berkhidmat dalam 41 sidang dan 17 kumpulan, yang terdiri daripada 14 bahasa. Pada 2021, 5,588 orang telah menghadiri Peringatan kematian Yesus.
Kita tumpang bergembira dengan saudara saudari di Cyprus. Kita yakin bahawa mereka pasti akan “terus maju” dengan bantuan Yehuwa.—Filipi 3:16.