Lompat ke kandungan

9 MAC 2022
ECUADOR

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Dialek Quichua (Chimborazo dan Imbabura)

Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Dialek Quichua (Chimborazo dan Imbabura)

Pada Sabtu, 5 Mac 2022, Saudara Alan Costa, ahli Jawatankuasa Cawangan Ecuador, mengumumkan pengeluaran Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam dua dialek Quichua, iaitu Chimborazo dan Imbabura. Kedua-dua dialek utama ini digunakan di Ecuador. Semasa program disiarkan langsung kepada para penyiar, kedua-dua Bible tersebut dikeluarkan dalam bentuk digital dan bercetak.

Pejabat penterjemahan Imbabura di Pergunungan Andes, terletak di Otavalo, 90 kilometer utara dari ibu negara, Quito

Kebanyakan penutur bahasa Quichua tinggal di Pergunungan Andes, iaitu kira-kira 2,700 hingga 3,700 meter atas paras laut. Mereka hidup rapat dalam komuniti dan terkenal kerana murah hati, rajin bekerja, dan ramah mesra. Ramai percaya Pencipta dan hormati Bible dengan mendalam.

Pada 1990-an, Saksi-Saksi Yehuwa terjemah bahan bacaan dalam bahasa yang dikenali sebagai Quichua Bersatu, iaitu gabungan pelbagai dialek yang dituturkan di seluruh Ecuador. Namun, hanya segelintir orang tunjuk minat terhadap mesej Kerajaan Tuhan di kawasan penyebaran bahasa Quichua. Jelaslah, saudara saudari perlu bahan bacaan dalam dialek masing-masing agar boleh berhasil.

Pejabat penterjemahan Chimborazo terletak di Riobamba, 208 kilometer selatan dari Quito

Kumpulan terjemahan Quichua terima bantuan daripada para penyiar yang tinggal di pelbagai kawasan dalam negara itu untuk semak terjemahan mereka. Salah seorang penterjemah memberi komen tentang cabaran menghasilkan Bible dialek Chimborazo untuk kumpulan bahasa yang pelbagai. Dia kata, “Dengan bantuan mereka, kami berjaya hasilkan terjemahan yang dapat difahami oleh semua orang.” Seorang lagi penterjemah dialek Imbabura jelaskan, “Yehuwa terus bimbing kami, dan saya dapat lihat dengan jelas bahawa Dia ingin semua orang kenali dan fahami Bible.”

Kedua-dua Bible baharu ini ialah berkat bagi saudara saudari bahasa Quichua yang sembah Yehuwa, Tuhan kita yang merupakan “Penyelamat segala macam orang.”—1 Timotius 4:10.