Lompat ke kandungan

Beberapa saudara saudari kita yang menjaga pameran dan menyambut para pelawat di pameran kita yang bertema “Buku Moden Tertua”

24 NOVEMBER 2023
ECUADOR

Pameran Buku Moden Tertua semasa Pesta Buku Antarabangsa di Ecuador

Pameran Buku Moden Tertua semasa Pesta Buku Antarabangsa di Ecuador

Dari 20 hingga 24 September 2023, Pesta Buku Antarabangsa yang kesembilan telah diadakan di Guayaquil, Ecuador. Lebih daripada 30,000 pelawat telah datang ke Guayaquil Expoplaza. Saudara saudari kita telah menyertai pesta itu dan membuat pameran yang bertema “Buku Moden Tertua.” Tema pameran ini bertujuan untuk menonjolkan nasihat Bible yang praktikal kepada semua orang daripada pelbagai lapisan umur. Terdapat bahan bacaan dalam bahasa Cina Mandarin, Inggeris, Portugis, Quichua (Chimborazo), Quichua (Imbabura), dan Sepanyol yang dipamerkan. Kira-kira 150 saudara saudari menyertai acara ini. Lebih daripada 700 naskhah bahan bacaan telah diedarkan, dan para pelawat telah dibantu untuk mencari pelbagai topik daripada laman jw.org.

Seorang saudari menunjukkan cara memuat turun bahan bacaan daripada jw.org kepada seorang pelawat

Seorang bapa yang mempunyai anak-anak remaja telah datang ke pameran kita. Dia meluahkan kerisauannya tentang cabaran yang anak-anaknya sedang hadapi. Para saudara menjelaskan bahawa prinsip-prinsip Bible sangat berguna dan dapat membantu kaum muda mengatasi cabaran mereka. Kemudian, dia pun menerima buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask—Answers That Work), Jilid 1 dan 2. Dia kata, “Saya tidak sangka saya boleh jumpa buku-buku yang mempunyai nasihat yang sangat berguna di pesta ini.”

Seorang wanita juga mengunjungi pameran kita dan bertanya jika dia boleh dapatkan senaskhah Bible. Dia kata bahawa dia tinggal di kawasan perumahan yang dikawal dengan ketat. Oleh sebab itu, dia jarang dapat berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saudari kita memberinya senaskhah Bible dan kemudian menjelaskan kursus perbincangan Bible yang percuma. Selepas itu, wanita tersebut memohon untuk dikunjungi dengan mengisi borang di jw.org.

Para Saksi mengongsi maklumat kepada seorang lelaki yang mengunjungi pameran kita

Seorang saudara yang bernama Diego telah menyertai pameran ini. Dia kata, “Walaupun ramai orang pernah lihat logo jw.org, sesetengah antara mereka hanya tahu sedikit tentang laman web itu dan mesej yang kita ingin sampaikan. Saya yakin pameran ini dapat bantu mereka lihat betapa bergunanya nasihat Bible pada hari ini.”

Kita bersukacita kerana saudara saudari kita di Ecuador dapat bantu orang lain belajar tentang hikmat yang terkandung dalam Bible, buku moden yang tertua di dunia.—Amsal 3:21.