Lompat ke kandungan

23 APRIL 2020
ECUADOR

Saksi-Saksi Yehuwa di Ecuador Menginjil dari Rumah

Saksi-Saksi Yehuwa di Ecuador Menginjil dari Rumah

Saudara saudari kita di seluas dunia berusaha menggunakan pelbagai cara untuk menginjil semasa pandemik COVID-19 sedang menular. Para penyiar di Ecuador telah meraih hasil yang baik daripada usaha mereka.

Di bandar Ambato, seorang penyiar yang berumur tujuh tahun dan ibunya telah mengirim mesej kepada guru sekolahnya. Mereka menulis, “Selamat pagi, cikgu. Saya mahu beritahu kamu suatu mesej yang melegakan daripada Bible. Bible memberikan harapan yang baik di Wahyu 21:4. Harapan ini dapat membantu kita pada masa yang susah ini. Saya akan hantar satu pautan dengan maklumat lanjut.”

Seorang cikgunya telah membalas, “Terima kasih banyak. Walaupun kamu masih muda, kamu sangat matang dan pandai berkata-kata.” Seorang lagi cikgu mengucapkan terima kasih dan menanya jika Buku Cerita Bible Saya boleh didapati dalam bentuk digital. Dulu, cikgu itu mempunyai buku itu, tetapi dia telah meminjamkannya kepada pelajar yang lain. Saudari muda kita menjelaskan bahawa buku itu boleh dimuat turun dari laman jw.org.

Sepasang suami isteri di bandar Quevedo melihat senarai nombor telefon mereka dan mengirim mesej kepada kenalan mereka yang bukan Saksi. Mereka menulis, “Saya seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Memandangkan terdapat wabak yang menular di sini dan di seluas dunia, kami tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Tetapi kami ingin berbual dengan kamu melalui videoconference.”

Kebanyakan orang yang dihubungi sudi berbual dengan mereka. Salah seorang wanita yang dahulunya tidak suka menyambut Saksi telah mengucapkan terima kasih dan memuji usaha mereka untuk melegakan orang lain. Wanita itu berkata bahawa dia sangat stres. Maka, pasangan itu mengirim majalah Sedarlah!, No. 1 2020, yang bertajuk “Cara Menangani Stres,” dalam bentuk PDF. Selepas itu, wanita itu mengucapkan terima kasih dan mengatakan bahawa dia telah membaca majalah itu berkali-kali.

Seorang saudari pekak yang bernama Johana tinggal di Santo Domingo de los Tsáchilas. Dia “menulis” sepucuk surat dengan menggunakan gambar. a Kemudian dia menangkap gambar lukisannya dan mengirimnya melalui telefon kepada kawan-kawannya yang pekak. Tetapi, tanpa disedarinya, dia telah mengirim lukisan itu kepada seorang wanita yang tidak pekak. Wanita itu membalasnya dan menanyakan banyak soalan. Memandangkan Johana tidak memahami pertanyaannya, seorang perintis yang bernama Rhonda telah menjawab pertanyaan wanita itu.

Wanita itu menjelaskan bahawa lukisan Johana telah menarik perhatiannya. Dia ingin tahu jika terdapat ayat Bible lain yang bercakap tentang hal-hal yang sedang terjadi di bumi sekarang. Rhonda membaca ayat di Lukas 21:10, 11 kepadanya dan mengirim pautan video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan? dan Mengapakah Tuhan Menciptakan Bumi? Wanita itu sangat berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut dan berbual lagi.

Sepertimana Rasul Paulus “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan” semasa dia dipenjarakan, saudara saudari kita juga mengambil setiap peluang untuk menginjil biarpun mereka perlu duduk di rumah.—Kisah 28:23.

a Terdapat banyak orang pekak yang tidak dapat memahami maksud di sebalik teks yang ditulis. Maka, banyak penyiar yang berkhidmat di sidang bahasa isyarat menggunakan gambar untuk menyampaikan mesej mereka. Salah satu teknik yang biasa digunakan ialah “peta minda.” Melalui cara ini, idea dan konsep dapat disampaikan secara teratur.