Lompat ke kandungan

Pejabat cawangan di El Salvador pada 1955; (Sisipan) Pada 26 April 1972, surat khabar rasmi kerajaan El Salvador menerbitkan pernyataan tentang Persatuan Saksi-Saksi Yehuwa

23 MAC 2022
EL SALVADOR

Ulang Tahun Ke-50 Pengiktirafan Sah Saksi-Saksi Yehuwa di El Salvador

Ulang Tahun Ke-50 Pengiktirafan Sah Saksi-Saksi Yehuwa di El Salvador

Mac 2022 ialah ulang tahun ke-50 Saksi-Saksi Yehuwa terima pengiktirafan yang sah di El Salvador. Pada 27 Mac 1972, selepas mendapat pengiktirafan itu daripada kerajaan, angka penyiar di El Salvador meningkat dengan cepat dari 2,524 pada 1972 ke 5,632 pada 1976. Kini, terdapat lebih daripada 38,000 penyiar berkhidmat di 662 sidang.

Beberapa mubaligh awal di El Salvador, gambar dari kiri ke kanan: Tayra Mills, Vivian Uhl, Jean Unwin, Evelyn Trabert, dan Mildred Olsen

Para mubaligh tiba di El Salvador pada 1945 dan bekerja keras untuk menginjil. Ketika itu, memang mudah untuk jadi penduduk sah. Sidang-sidang mula ditubuhkan dan sebuah pejabat cawangan didirikan pada Mei 1946.

Pada 1968, salah satu undang-undang imigrasi baharu menghalang mubaligh untuk tinggal di negara itu lebih daripada lima tahun. Para saudara tahu ini akan menjejaskan kerja penyebaran. Jadi, saudara-saudara yang ambil pimpinan membuat keputusan untuk memohon pengiktirafan yang sah di sisi undang-undang.

Pada penghujung 1971, sekitar 30 penatua dari El Salvador dijemput berkumpul di pejabat cawangan untuk bincang tentang hal ini. Semasa perjumpaan, Saudara Baltasar Perla, Sr. (kemudiannya ahli Jawatankuasa Cawangan), minta kad pengenalan semua penatua yang hadir. Dia kemudian beritahu bahawa nama dan alamat mereka akan disertakan dalam permohonan bertulis untuk pengiktirafan sah daripada pihak kerajaan.

Saudara Juan Antonio Flores, salah seorang penatua yang hadir perjumpaan itu menceritakan, “Saudara Perla, Sr., kata bahawa memandangkan nama dan alamat kita ada dalam dokumen itu, jika pihak berkuasa ingin haramkan kerja Saksi-Saksi Yehuwa, kitalah antara orang pertama ditangkap dan dipenjarakan.” Saudara Perla, Sr., sudi bagi balik kad pengenalan kepada sesiapa yang rasa takut. Tiada seorang pun yang minta kad mereka dipulangkan. Syukurlah, kerajaan tidak menentang kerja kita dan tiada sesiapa pun yang dipenjarakan.

Rancangan itu berjaya dan Persatuan Saksi-Saksi Yehuwa diiktiraf secara sah pada tahun berikutnya. Sejak itu, mubaligh sekali lagi boleh jadi penduduk tetap. Selain itu, adalah lebih mudah bagi pejabat cawangan import bahan bacaan dan untuk saudara saudari jelaskan pendirian neutral mereka kepada pihak sekolah dan pegawai kerajaan.

Pada 26 April 1972, surat khabar rasmi kerajaan El Salvador menerbitkan matlamat utama Persatuan Saksi-Saksi Yehuwa, iaitu “[Untuk] menginjil tentang ajaran Bible serta berita baik Kerajaan Tuhan agar dapat beri kesaksian tentang nama, mesej, dan keagungan Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa.”

Bertahun-tahun sudah berlalu sejak pernyataan itu dibuat dan Saksi-Saksi Yehuwa di El Salvador tetap menginjil tentang Yehuwa.—Yesaya 25:9.