26 OKTOBER 2022
ERITREA
USCIRF Menyeru agar Saksi Berumur 80 Tahun yang Dipenjarakan di Eritrea Dibebaskan
Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF) menyatakan kebimbangan mereka terhadap Saudara Tesfazion Gebremichael, yang dipenjarakan di Eritrea lebih daripada 11 tahun. Laman web USCIRF menyatakan “usia Gebremichael yang lanjut (kini mencapai 80-an) menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan dan kesihatannya di penjara.” Pada 7 Oktober 2022, Pesuruhjaya USCIRF Frederick Davie, menyeru agar Saudara Gebremichael dibebaskan.
Pada 20 Julai 2011, semasa Saudara Gebremichael bincangkan kepercayaannya dengan orang lain, pihak berkuasa menangkapnya. Walaupun dilahirkan di Eritrea, dia bukan warganegara lagi kerana pihak kerajaan telah menarik balik kerakyatan semua Saksi-Saksi Yehuwa pada 1994.
Saudara Gebremichael menjadi seorang Saksi pada Januari 1971. Dia dikenali sebagai seorang lelaki berkeluarga yang pengasih, baik hati, damai, dan suka bantu orang lain. Pada 1974, dia mengahwini isterinya Lemlem, yang juga seorang Saksi Yehuwa. Mereka mempunyai empat orang anak dan lima orang cucu.
Saudari Gebremichael kata, “Walaupun saya risau tentang kesihatan suami saya di penjara, dan rindu akan kasih dan sokongannya, saya tahu Yehuwa akan menjaganya. Saya kagum lihat kesetiaan dan tekadnya untuk tetap menyembah Yehuwa. Dengan merenung Pengkhutbah 10:4, saya digalakkan untuk tetap tenang semasa keluarga kami hadapi cabaran ini.”
Sejak 1991, Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya di Eritrea. Dari Disember 2020 hingga Februari 2021, walaupun 32 Saksi dibebaskan dengan bersyarat, seramai 20 saudara saudari masih tetap dipenjarakan. Mereka semua dipenjarakan tanpa tarikh pembebasan. Memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk membela diri dalam mahkamah atau menerusi cara lain, hukuman yang mereka terima dapat disamakan dengan hukuman seumur hidup.
Pelbagai organisasi antarabangsa yang menegakkan hak asasi manusia berulang kali mengutuk tindakan Eritrea yang melanggar hak asasi. Mereka juga meminta agar masalah ini diselesaikan dengan segera. Pada tahun 2016, Suruhanjaya Siasatan PBB mengenai Hak Asasi Manusia di Eritrea bahkan telah menyatakan bahawa pihak berkuasa Eritrea telah melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan” dengan menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa dan orang lain.
Pemenjaraan berterusan Saudara Gebremichael menunjukkan dasar kerajaan Eritrea yang memperlakukan para Saksi, bahkan orang tua dengan kejam. Sejak 2011, empat Saksi meninggal di dalam penjara dan tiga Saksi yang lanjut usia meninggal selepas dibebaskan kerana keadaan yang amat teruk semasa di dalam penjara.
Para pegawai Eritrea menolak permintaan Saksi-Saksi Yehuwa untuk membincangkan hal ini.
Kita berdoa bagi saudara saudari kita yang dipenjarakan dengan tidak adil. Kita yakin Yehuwa akan terus menguatkan mereka.—Ibrani 13:3.