Lompat ke kandungan

8 OGOS 2023
ETIOPIA

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Sidama dan Wolaita

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Sidama dan Wolaita

Pada 23 Julai 2023, Saudara Lemma Koyra, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Etiopia (Habsyah), telah mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Sidama dan Wolaita. Pengeluaran dalam bentuk digital ini telah dibuat semasa satu perjumpaan istimewa di Dewan Perhimpunan di Addis Ababa. Hampir 1,800 orang telah menghadiri acara ini secara bersemuka, dan 12,669 orang menonton program ini melalui persidangan video dan saluran televisyen satelit. Buku Matius dapat dimuat turun sejurus selepas pengumuman itu dibuat. Salinan bercetak akan disediakan kepada sidang-sidang dalam beberapa bulan yang akan datang.

Bahasa Wolaita dan Sidama sering dituturkan di bahagian selatan Etiopia. Pada 2005, kumpulan penterjemahan telah ditubuhkan untuk bahasa Wolaita, dan pada 2007 untuk penterjemahan bahasa Sidama. Pejabat penterjemahan bagi dua bahasa ini terletak di kawasan yang mempunyai ramai penutur bahasa Wolaita dan Sidama.

Saudara saudari yang menuturkan bahasa Sidama sangat gembira dengan pengeluaran buku Matius

Walaupun terdapat Bible yang diterjemahkan ke dalam dua bahasa ini, Bible tersebut sangat mahal dan tidak mudah diperoleh. Seorang penterjemah menjelaskan keadaan yang dialami banyak penyiar yang menuturkan bahasa Sidama. Dia kata, “Kebanyakan sidang hanya mempunyai satu salinan Bible. Semasa perjumpaan, hanya penceramah yang dapat guna Bible itu. Apabila kami mahu buat pembacaan Bible peribadi, kami perlu pergi ke Dewan Perjumpaan dan guna satu-satunya Bible di sana. Sekarang, kami ada buku Matius dalam bahasa Sidama. Akhirnya, kami dapat baca dan buat pembelajaran Bible di rumah sendiri.”

Saudara saudari memberi tepukan gemuruh semasa pengumuman dibuat tentang pengeluaran buku Matius dalam bahasa Wolaita

Seorang penterjemah bahasa Wolaita sangat menghargai Bible Terjemahan Dunia Baharu yang jelas dan tepat. Dia kata, “Dalam salah satu terjemahan Bible yang lain, kuasa suci Tuhan digambarkan sebagai satu individu di Matius 28:19. Jadi semasa menginjil, kami rasa susah untuk menjelaskan perbezaan antara Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Sekarang, kami ada Bible Terjemahan Dunia Baharu yang memberikan gambaran tepat tentang kuasa suci Tuhan. Saya yakin pengeluaran ini akan bawa banyak manfaat dalam kerja penyebaran kami.”

Pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Sidama dan Wolaita ialah bukti kukuh bahawa berita baik sedang disebarkan kepada ‘setiap bangsa, suku, dan bahasa.’—Wahyu 14:6.