Lompat ke kandungan

Saudara Elnathan Lee (atas) dan Saudara Israel Aves (bawah) dari pejabat cawangan Filipina memberi penyampaian semasa Pesta dan Persidangan Bahasa Ibunda Antarabangsa 2021

26 APRIL 2021
FILIPINA

Pesta dan Persidangan Bahasa Ibunda Antarabangsa 2021 Menonjolkan Kerja Penterjemahan Saksi-Saksi Yehuwa di Filipina

Pesta dan Persidangan Bahasa Ibunda Antarabangsa 2021 Menonjolkan Kerja Penterjemahan Saksi-Saksi Yehuwa di Filipina

Pesta dan Persidangan Bahasa Ibunda Antarabangsa (International Mother Language Conference and Festival) merupakan sidang akademik yang melibatkan para pendidik, penggubal dasar antarabangsa, penyelidik, dan cendekiawan dari 12 buah negara. Acara itu diadakan melalui telekonferens video dari 21 Februari hingga 20 Mac 2021. Dr. Ricardo Ma. Nolasco, dari Bahagian Linguistik di Universiti Filipina Diliman, dan juga pengerusi persidangan, telah menjemput wakil-wakil dari pejabat cawangan Filipina untuk menyertai acara itu. Pada 9 Mac 2021, dua penterjemah iaitu Saudara Elnathan Lee dan Saudara Israel Aves, memberikan ceramah tentang kerja penterjemahan Saksi-Saksi Yehuwa. Kira-kira 320 orang menonton persidangan tersebut secara online.

Menurut Dr. Ricardo Ma. Nolasco, suatu tinjauan seluruh negara Filipina menunjukkan bahawa, selain daripada buku teks sekolah, buku yang paling banyak dibaca ialah Bible. Maka, memang sesuai untuk mengadakan satu sesi yang bertema, “Terjemahan Bible dalam bahasa-bahasa Filipina.” Dengan itu, saudara-saudara kita menjelaskan tema itu.

Ceramah Saudara Aves bertajuk, “Tepat atau Senang Dibaca, atau Kedua-duanya? Bahasa Peribumi dan Cabarannya bagi Penterjemahan Bible.” Dia menghuraikan cara penterjemah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu (NWT) bersikap seimbang untuk menghasilkan terjemahan yang tepat dan mudah dibaca. Dia menjelaskan lagi, “Tujuan utama Saksi-Saksi Yehuwa ialah pendidikan Bible. Maka, mereka juga berusaha untuk menyediakan Bible NWT dalam bahasa minoriti. Bible NWT tersedia secara percuma dalam talian atau bentuk bercetak di sidang-sidang tempatan. Dengan itu, anda boleh pertimbangkan sejauh mana penterjemah berjaya menghasilkan Firman Tuhan yang tepat dan mudah dibaca.”

Saudara Lee memberi ceramah bertajuk, “Mengumpul Orang Berbilang Bangsa dan Bahasa: Usaha Saksi-Saksi Yehuwa dalam Kerja Penterjemahan.” Dia menjelaskan betapa luasnya bidang kerja penterjemahan yang dibuat oleh Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia. Lebih daripada 6,000 penterjemah dan staf sokongan terlibat dalam kegiatan ini. Dia juga menceritakan sejarah kerja penterjemahan, sejak ia bermula kira-kira pada 1890 sehingga peningkatan yang pesat kebelakangan ini. Selanjutnya, dia menonjolkan bahawa jw.org ialah laman web yang diterjemahkan ke dalam paling banyak bahasa di dunia. Laman web itu mencapai detik bersejarah pada November 2019 apabila kandungannya tersedia dalam 1,000 bahasa.

Saudara Lee mengakhiri ceramah dengan berkata, “Para penterjemah bahan terbitan Saksi-Saksi Yehuwa menganggap kerja mereka sebagai khidmat awam. Mereka bermatlamat untuk menghasilkan terjemahan yang mudah difahami dan tidak dibatasi sempadan. Dengan itu, semua orang di dunia dapat menikmati pengajarannya dan digalakkan.”

Kita gembira kerana berpeluang untuk memberitahu orang ramai tentang kerja penterjemahan kita. Ini merupakan bukti tambahan bahawa berita baik sedang dikhabarkan “kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.”—Wahyu 14:6.